Prague: Noni Madueke dan Viktor Gyokeres masing-masing meledak gol pada separuh masa pertama untuk membantu Arsenal menewaskan Slavia Prague 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.
Arsenal kembali menemui rentak kemenangan di pentas Eropah selepas terikat 2-2 dengan Bayern Munich bulan lalu, sekali gus mengumpul 10 mata daripada empat perlawanan UCL setakat ini, manakala Slavia hanya memiliki satu mata.
Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu pantas menguasai permainan dalam keadaan cuaca sejuk di ibu negara Republik Czech berkenaan.
Madueke membuka tirai jaringan pada minit kesembilan untuk meletakkan Arsenal di depan.
Gyokeres mengawal hantaran jauh penjaga gol David Raya menggunakan dada sebelum pantas melorongkan bola kepada Madueke yang sedang memecut di bahagian kanan.
Madueke mudah melepasi benteng pertahanan Slavia sebelum menewaskan penjaga gol remaja Ukraine, Nazar Domchak, menerusi rembatan rendah.
Gyokeres, yang menjadi antara enam pemain baharu dalam kesebelasan utama pilihan Mikel Arteta berbanding aksi kemenangan 1-0 ke atas Liverpool pada Ahad lalu, menggandakan kelebihan Arsenal pada minit ke-38.
Penyerang itu menewaskan Domchak menerusi rembatan kemas yang menerjah gawang selepas bola terkena tiang jauh, hasil gerakan satu-dua bersama Mikel Merino di luar kotak penalti Slavia.
Juara Republik Czech itu kelihatan bergelut sepanjang separuh masa pertama dan hanya menghasilkan satu peluang menerusi percubaan kapten pasukan, Tomas Holes, yang tersasar dari dalam kotak penalti.
Bagaimanapun, Slavia meningkatkan intensiti permainan pada babak kedua bagi mengelak kekalahan berulang 0-3 di laman sendiri kepada Arsenal dalam saingan sama, tepat setahun lalu.
Pemain tengah Poland, Oskar Kubiak, menguji ketangkasan Raya menerusi percubaan yang memaksa penjaga gol itu melakukan aksi menyelamat sebaik babak kedua bermula.
Gabriel Magalhaes dan Raya kemudian masing-masing mengeluarkan tandukan lawan di atas garisan gol dalam situasi berturut-turut ketika perlawanan berbaki 15 minit, manakala percubaan David Zima pula melepasi palang gol.
Raya sekali lagi menjadi penyelamat apabila menepis tandukan Kubiak yang terkena tiang.
Slavia akhirnya memperoleh gol sagu hati pada minit ke-90 apabila hantaran lintang David Jurasek melepasi benteng pertahanan Arsenal sebelum Wiktor Nowak melepaskan rembatan kencang dari jarak dekat untuk merobek gawang pelawat.
Kekalahan itu menyaksikan Slavia meneruskan rekod tanpa kemenangan dalam saingan UCL kepada 23 perlawanan berturut-turut, sekali gus menghampiri rekod buruk sepanjang zaman milik AEK Athens dengan 24 perlawanan tanpa kemenangan yang dicatatkan dari 1992 hingga 2006.
© New Straits Times Press (M) Bhd




