Hantaran tular wanita maut terkena renjatan elektrik di kerusi urut adalah palsu

Hantaran tular wanita maut terkena renjatan elektrik di kerusi urut adalah palsu

harisfadli@hmetro.com.my

Kajang: Hantaran tular kononnya seorang remaja perempuan maut terkena renjatan elektrik ketika menggunakan kerusi urut di sebuah pusat beli-belah disahkan sebagai palsu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, semakan dan siasatan yang dijalankan mendapati, tiada sebarang kejadian seperti didakwa berlaku.

“Kami turut menerima satu laporan berkaitan dakwaan palsu itu jam 7.50 malam tadi (semalam) berkaitan satu pautan di laman sosial Facebook yang memaparkan hantaran terbabit.

“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya pada kenyataan.

Menurutnya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan dinasihati supaya merujuk ke saluran rasmi PDRM atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222.

Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran memaparkan gambar dipercayai disunting oleh aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang menunjukkan seorang wanita kononnya maut ketika menggunakan kerusi urut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top