am@hmetro.com.my
Kulai: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan dalam kes seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditemukan lemas di sebuah kolam takungan air berhampiran Taman Sungai Mas di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, siasatan awal mendapati, ibu bapa mangsa keluar bekerja jam 6.30 pagi, selepas mendapati mangsa sedang tidur bersama kakaknya yang berusia 17 tahun.
Bagaimanapun, beliau berkata, pada jam 10 pagi, ibu mangsa dihubungi seorang kenalan memaklumkan anaknya itu ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kolam terbabit, yang terletak kira-kira 50 meter dari kediaman mereka.
“Mangsa dibawa keluar daripada kolam oleh anggota bomba.
“Hasil siasatan, mangsa dipercayai pergi ke kolam berkenaan sendirian untuk memancing, susulan penemuan sebatang joran berhampiran lokasi,” katanya pada kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan jam 11.15 pagi, manakala keputusan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat lemas.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR). Siasatan lanjut bagaimanapun masih diteruskan,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau menasihati ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak serta tidak membiarkan mereka melakukan aktiviti di kawasan berisiko seperti kolam, sungai dan perairan tanpa pengawasan orang dewasa.
Semalam, media melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki ditemukan lemas selepas dikatakan terjatuh ke dalam kolam takungan ketika memancing.
Satu video turut tular di media sosial memaparkan insiden itu yang menarik perhatian umum apabila seorang wanita dipercayai ibu mangsa, masih cuba memberi bantuan kecemasan dengan melakukan CPR bagi menyelamatkan kanak-kanak berkenaan yang dipercayai sudah pun meninggal dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




