London: Aston Villa memberi bayangan mahu mengekalkan khidmat Unai Emery sebagai pengendali pasukan melepasi tempoh kontraknya yang akan berakhir pada 2029, susulan kejayaan besar dicapai pengendali dari Sepanyol itu sejak mengambil alih kelab berkenaan.
Emery, yang membimbing Villa sejak empat tahun lalu, berjaya mengubah nasib kelab itu apabila dua kali membawa mereka ke Liga Juara-Juara, selain menamatkan penantian 30 tahun untuk menjulang trofi menerusi kejayaan memenangi Liga Europa musim lalu.
Bagaimanapun, kecemerlangan itu turut mencetuskan minat beberapa kelab ternama Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk mendapatkan khidmat bekas pengendali Arsenal dan Paris Saint-Germain (PSG) berkenaan.
Malah, Villa awal minggu ini mengumumkan hasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas pertahanan Liverpool yang kini bergelar penganalisis, Jamie Carragher, selepas beliau mencadangkan Emery mempertimbangkan perpindahan ke Manchester United sekiranya Michael Carrick dipecat.
Dalam satu kenyataan, Villa memaklumkan mesyuarat penting diadakan semalam bagi merangka hala tuju masa depan kelab serta meletakkan asas kepada pembangunan jangka panjang, termasuk komitmen meneruskan kerjasama dengan Emery selepas 2029.
“Perbincangan memberi tumpuan kepada perancangan bersama hala tuju strategik jangka panjang kelab, dengan perkembangan positif menyaksikan komitmen jelas untuk pembangunan bersama melepasi 2029 di bawah kepimpinan sukan Unai Emery,” menurut kenyataan itu.
Villa turut menegaskan sasaran mereka adalah membina sebuah kelab yang lebih bercita-cita tinggi dan kompetitif bagi menghadapi cabaran serta memburu kejayaan lebih besar pada masa depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




