norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon baharu, Dai Fuad, 34, mengakui sedia menerima kecaman dan kritikan pedas netizen terhadap lakonannya yang membawa watak antagonis sekali gus memicu kemarahan ramai.
Ujar Dai Fuad atau nama sebanar, Muhammad Fuad Abd Rahman, dia selesa mengambil pendekatan terbuka bahawa setiap kecaman dan kritikan itu bukan untuk melemahkan, tetapi teguran memperbaiki ke arah lebih baik.
“Kalau berkaitan kecaman dan kritikan netizen di media sosial terhadap lakonan saya, terima sahajalah. Sebab, dari sudut pandang saya mungkin lakonan sudah bagus, tetapi penerimaan orang pasti lain. Jadi, kita cuba perbaiki.
“Saya juga tidak akan berbalah dengan netizen, itu buang masa. Lagi pun, semua orang berhak kongsi pandangan masing-masing di media sosial. Sekarang, cara komunikasi kita sudah sangat terbuka,” katanya kepada Harian Metro.
Ditemui baru-baru ini, Dai Fuad menjelaskan, dia banyak mendapat kata-kata semangat dan sokongan positif penonton serta peminatnya di media sosial, sekali gus membuat dirinya tekad memberi terbaik dalam kerja-kerja seni.
Terbaharu, Dai Fuad muncul melakonkan watak Abdul Ghafar Aziz atau Pa dalam filem Kudrat 1968: High Council arahan Zulaikha Zakaria dan Khairi Asyraff bersama pelakon lain seperti Zarif Ghazzi, Akmal Asyraf dan Mierul Aiman.
Selain aktif berlakon, Dai Fuad juga membabitkan diri dalam bidang nyanyian sejak 2018, dan kini menggalas posisi vokalis TIP Band yang turut dianggotai bersama komposer dan pemuzik, Adi Priyo, 43.
“Memang saya bermula dalam industri, sebagai penyanyi pada 2018. Tetapi, pembabitan saya bersama TIP Band baharu tiga tahun selepas ditubuhkan pada 2023. Alhamdulillah, show menyanyi pun ada.
“Seronok dapat menyanyi ini, dan saya sangat berbesar hati diberi peluang bersama-sama Band TIP. Apapun, keputusan penubuhan TIP daripada basis band yang ingin gabungkan beberapa individu dalam kumpulan.
“Bahkan, TIP dapat kekal hingga ke hari ini pun dengan bantuan daripada abang Adi Priyo iaitu cikgu serta mentor saya dalam nyanyian, termasuk dia juga berperanan mencorakkan band ini,” katanya.
Pada perkembangan lain, TIP Band difahamkan baharu muncul dengan lagu Ratnaku yang pernah dinyanyi dan dirakamkan oleh penyanyi Roy pada 1992 yang diberikan nafas baharu sentuhan Adi Priyo.
Lagu Ratnaku hasil ciptaan maestro muzik terkenal, Datuk M Nasir itu sangat popular pada era 1990-an dan aura ikonik itu berlanjutan diterima baik oleh pendengar masa kini pada kalangan generasi Z dan Milenial.
© New Straits Times Press (M) Bhd




