farahmarshita@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan mengumumkan pemberian diskaun tol 50 peratus selama dua hari sempena sambutan Deepavali, membabitkan bayaran pampasan RM20.11 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terbabit.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan diskaun itu bermula 12 tengah malam, Jumaat ini dan berakhir pada 11.59 malam, Sabtu ini.
Katanya, inisiatif itu membabitkan kenderaan persendirian Kelas Satu di semua plaza tol serta Kelas Dua bagi Jambatan Pulau Pinang.
“Pemotongan dikecualikan di plaza tol sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (TTK), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA),” katanya pada kenyataan di sini, hari ini.
Kata beliau, pemberian diskaun itu mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan kerajaan dalam memelihara kebajikan serta kesejahteraan rakyat.
“Inisiatif ini diharap dapat membantu meringankan kos perjalanan rakyat, khususnya masyarakat beragama Hindu yang pulang ke kampung halaman atau menziarahi ahli keluarga bagi meraikan sambutan Deepavali, sekali gus memaknai semangat perayaan melalui hubungan kekeluargaan dan kebersamaan,” katanya.
Semua pengguna lebuh raya turut disarankan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Katanya, pengguna juga dinasihati supaya memastikan baki kad Touch ‘n Go atau eWallet mencukupi sebelum memulakan perjalanan, mematuhi had laju, menjaga jarak selamat antara kenderaan serta berehat secukupnya bagi mengelakkan keletihan ketika memandu.
Pengguna juga digalakkan menyemak maklumat trafik semasa serta sebarang insiden di lebuh raya melalui saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi mendapatkan maklumat terkini dan merancang perjalanan dengan lebih teratur.
© New Straits Times Press (M) Bhd




