Korea Selatan tingkat operasi maritim lindungi Selat Hormuz

Korea Selatan tingkat operasi maritim lindungi Selat Hormuz

SEOUL – Kementerian Pertahanan Korea Selatan pada Khamis memaklumkan negara itu akan mengerahkan pesawat rondaan maritim dan pasukan pelupusan bahan letupan ke perairan berhampiran Selat Hormuz bagi membantu memastikan laluan strategik itu terus dibuka.

Pengumuman itu dibuat ketika Seoul menegaskan tidak akan menghantar tentera untuk campur tangan dalam perang Iran sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha melindungi kapal dagang dan bekalan tenaga melalui salah satu laluan maritim paling penting di dunia.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan mengesahkan laporan bahawa kerajaan merancang memperluas kawasan operasi unit tentera laut, Cheonghae yang bertanggungjawab melindungi kapal komersial di Teluk Aden berhampiran Somalia ke perairan sekitar Selat Hormuz.

Menurut agensi berita Yonhap, operasi itu akan melibatkan sebuah kapal pemusnah, pesawat rondaan maritim P-8, pasukan pelupusan bahan letupan (EOD), kenderaan permukaan tanpa pemandu, kenderaan bawah air tanpa pemandu dan kenderaan kawalan jauh (ROV) bagi menjalankan penerokaan dasar laut.

“Tempoh melanjutkan penugasan unit Cheonghae sehingga akhir tahun ini memerlukan kelulusan Parlimen. Pengukuhan misi unit Cheonghae bertujuan melindungi rakyat kami dan menjaga kepentingan ekonomi negara,” kata seorang pegawai di Kementerian Pertahanan.

Tambahnya, penambahan aset berkenaan adalah khusus untuk tujuan bukan tempur dan unit tersebut akan beroperasi secara bebas tanpa bergantung kepada pasukan tentera negara sekutu.

Pada September lalu, Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung mengulangi pendirian bahawa negara itu tidak akan menghantar tentera dalam sebarang bentuk penugasan yang boleh membawa kepada campur tangan ketenteraan. – Agensi

 

Scroll to Top