Thailand haramkan buku atas alasan keselamatan negara

Thailand haramkan buku atas alasan keselamatan negara

BANGKOK – Thailand mengharamkan sebuah buku atas alasan boleh mengancam keselamatan negara, namun penyuntingnya yang kini hidup dalam buangan mendakwa larangan itu berpunca daripada kandungannya yang menyentuh institusi monarki.

Hal ini kerana keluarga diraja mempunyai kedudukan yang amat dihormati dalam masyarakat dan dilindungi daripada sebarang kritikan menerusi undang-undang penghinaan terhadap institusi diraja yang ketat. Namun, pengkritik menyifatkan undang-undang lese majeste dijadikan alat untuk menyekat kritikan dan membungkam suara yang berbeza pendapat.

Buku tersebut merupakan edisi kedua Routledge Handbook of Contemporary Thailand yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris pada Ogos lalu.

Ia disunting oleh seorang ahli akademik terkenal yang lantang mengkritik institusi diraja Thailand, Pavin Chachavalpongpun yang kini menetap di Jepun.

Buku itu mengandungi beberapa bab yang membincangkan institusi monarki pada abad ke-21 dan penggunaan undang-undang kontroversi tersebut.

Satu perintah yang ditandatangani Ketua Polis Negara, Samran Nualma pada Rabu menyatakan buku itu mengandungi artikel yang ‘menjejaskan keselamatan negara dan berkemungkinan mencetuskan kekacauan dalam negara’.

Menurutnya, kandungan buku itu didakwa menjejaskan keselamatan kerajaan, ketenteraman awam atau nilai moral masyarakat.

Pihak berkuasa turut diberi kuasa untuk merampas dan memusnahkan buku tersebut.

Menerusi catatan di Facebook pada Khamis, Pavin berkata, buku itu diharamkan kerana dipenuhi bahan berkaitan institusi monarki.

Dalam hantaran berasingan, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Thailand kerana secara tidak langsung membantu mempromosikan buku berkenaan.

“Dalam era media sosial dan internet, larangan seperti ini tidak akan berkesan. Orang ramai mungkin hanya mengabaikan naskhah bercetak dan mendapatkan versi e-buku,” tulisnya.

Individu yang didapati bersalah mengimport atau mengedarkan buku itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda maksimum 60,000 baht (RM7,269) atau kedua-duanya sekali.

Pada 2023, bukunya berjudul Rama X: The Thai Monarchy under King Vajiralongkorn yang diterbitkan oleh Yale University Southeast Asia Studies turut diharamkan di bawah tindakan serupa.

Satu perintah polis pada 2023 menyatakan kulit buku dan kandungannya mencerminkan pendirian penulis yang dianggap menghina institusi monarki dan mengancam keamanan serta nilai moral masyarakat.

Di bawah undang-undang lese majeste, individu yang didapati bersalah menghina, memfitnah atau mengancam raja atau ahli kerabatnya boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi setiap kesalahan. – AFP

 

Scroll to Top