Kepakaran autisme perlu diperluas ke sekolah kerajaan

Kepakaran autisme perlu diperluas ke sekolah kerajaan

asyikin.mat@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kepakaran dalam bidang autisme perlu diperluas ke sekolah kerajaan, termasuk di luar bandar bagi memastikan lebih ramai murid yang mengalami gangguan spektrum autisme (ASD) mendapat sokongan sewajarnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata kepakaran dan ilmu yang dimiliki pusat autisme tidak seharusnya terhad kepada keluarga berkemampuan, sebaliknya perlu diperluas supaya dapat diakses semua lapisan masyarakat.

“Kerajaan sedang melaksanakan pelbagai usaha bagi menyokong kanak-kanak dan individu autisme, termasuk pengumuman peruntukan khas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lalu bagi menubuhkan sebuah pusat autisme di setiap negeri.

“Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pendidikan percuma kepada pelajar kurang upaya yang berdaftar di universiti awam di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran aplikasi percuma Autism at Home sempena Majlis Gala Pengumpulan Dana Ulang Tahun ke-20 di sini, malam ini.

Hannah berkata, lebih banyak perhatian kini diberikan kepada usaha memahami mengapa sesetengah kanak-kanak menunjukkan tingkah laku berbeza di bilik darjah, selain kajian lanjut dijalankan bagi mengenal pasti bentuk sokongan yang diperlukan.

“Pembuat dasar perlu berhubung dengan individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.

“Apabila mendengar mengenai beberapa cabaran yang dihadapi murid autisme di sekolah, saya ingin menemukan Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek dengan seorang rakan yang mempunyai kepakaran bidang autisme, Dr Jochebed Isaacs,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, seramai 6,876 kanak-kanak autisme berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kuala Lumpur setakat 31 Disember 2024.

“Kira-kira 99,000 individu autisme berdaftar di seluruh negara dan memiliki kad orang kurang upaya (OKU) setakat Oktober lalu.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 10,000 berusia bawah enam tahun, 58,000 berusia antara enam hingga 12 tahun, manakala 17,000 lagi berusia antara 12 hingga 18 tahun,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top