Saman kerajaan bukan niat nak bergaduh, hanya mahu bela rakyat Muar – Syed Saddiq

Saman kerajaan bukan niat nak bergaduh, hanya mahu bela rakyat Muar – Syed Saddiq

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan menyaman kerajaan berhubung penarikan peruntukan Parlimen Muar bukan bertujuan untuk bergaduh dengan mana-mana pihak, sebaliknya demi memperjuangkan kebajikan penduduk di kawasan yang diwakili, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, perjuangan itu akhirnya membuahkan hasil apabila kerajaan bersetuju mengembalikan RM500,000 peruntukan kebajikan Muar yang sebelum ini ditarik balik, selain meneruskan projek baik pulih infrastruktur bernilai RM230,300.

“Alhamdulillah, RM500,000 wang kebajikan Muar akan dipulangkan. Projek baik pulih infrastruktur bernilai lebih RM200,000 juga akan diteruskan.

“Perjuangan ini bermula pada 2023 apabila saya bersama empat pemimpin tempatan Muar menyaman kerajaan selepas peruntukan yang sudah diluluskan ditarik balik.

“Wang itu untuk membantu rakyat dan membaiki kemudahan asas di sekolah dan surau. Namun, peruntukan ditarik selepas saya tidak lagi sehaluan dengan kerajaan,” katanya dalam hantaran video yang dimuat naik di media sosial, hari ini.

Beliau berkata perbezaan politik tidak sepatutnya menjejaskan kebajikan rakyat, malah beliau percaya institusi kehakiman menjadi benteng terakhir untuk rakyat mendapatkan keadilan.

“Seperti rakyat biasa, saya mencari keadilan melalui mahkamah. Saya sentiasa percaya bahawa institusi kehakiman adalah benteng terakhir untuk rakyat mendapatkan keadilan.

“Saya junjung institusi keadilan dan mahkamah negara. Selepas dua tahun berjuang di Mahkamah Persekutuan, dengan keputusan sebulat suara 3-0 yang membenarkan saman sivil kami untuk diteruskan,” katanya.

Katanya, keputusan berkenaan akhirnya membuka ruang kepada rundingan antara kedua-dua pihak.

“Hari ini, di hadapan tiga hakim Mahkamah Persekutuan, kerajaan dan Pejabat Peguam Negara bersetuju untuk menyelesaikan kes ini dengan memulangkan wang kebajikan dan meneruskan projek baik pulih itu.

“Alhamdulillah, semuanya untuk manfaat rakyat Muar. Dari awal saya tak berniat nak bergaduh dengan sesiapa. Saya hanya mahu memperjuangkan kebajikan penduduk di kawasan yang saya wakili,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan peguam, hakim serta Peguam Negara dan pasukannya atas usaha menyelesaikan perkara itu.

“Terima kasih juga kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz atas kesediaan mencari jalan penyelesaian demi kebajikan rakyat.

“Saya akan kongsikan perkembangan projek baik pulih dan penggunaan wang kebajikan ini secepat yang mungkin.

“Jadi, amanah rakyat kita perjuangkan, amanah itu saya akan sentiasa junjung dan tidak akan saya lupakan. Terima kasih, Muar,” katanya.

Terdahulu, pada prosiding di Mahkamah Persekutuan hari ini, peguam Lim Wei Jiet yang mewakili Syed Saddiq dan tiga pengundi Parlimen Muar memaklumkan bahawa pemohon dan responden, iaitu Perdana Menteri serta Kerajaan Persekutuan, mencapai persetujuan secara prinsip untuk menyelesaikan isu pemberhentian peruntukan kepada kawasan Parlimen itu secara baik.

Beliau berkata, antara perkara yang dipersetujui ialah pengembalian peruntukan 2023 berjumlah RM500,000 bagi kebajikan Parlimen Muar yang sebelum ini dibatalkan.

Selain itu, peruntukan RM230,300 bagi projek khusus membabitkan sekolah, surau dan kampung di bawah sistem MyKHAS turut dipersetujui untuk dikembalikan.

Lim berkata, kedua-dua pihak kini sedang meneliti mekanisme terbaik dan terperinci bagi merekodkan terma penyelesaian itu secara rasmi di mahkamah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top