Pulih akidah masyarakat

Pulih akidah masyarakat

saufi@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pengisytiharan taubat secara terbuka dibenarkan, malah dituntut dalam keadaan tertentu.

Ia terutama apabila kesalahan lalu membabitkan kepentingan awam, walaupun pada asasnya seseorang boleh bertaubat kepada Allah SWT tanpa perlu mendedahkan aib dirinya kepada masyarakat.

Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, pengisytiharan terbuka wajar dilakukan jika seseorang pernah menyebarkan ajaran sesat, mempengaruhi masyarakat atau mengajak orang lain melakukan kesalahan.

Beliau berkata, ini sekali gus membetulkan kekeliruan yang pernah disebarkan dan mengumumkan diri seseorang itu sudah bertaubat daripada melakukan kesalahan lalu.

“Pengakuan terbuka juga menjadi medium untuk menjelaskan bahawa pegangan atau ajaran yang pernah dibawa sebelum ini adalah salah dan tidak lagi diyakini, sekali gus memulihkan akidah masyarakat serta mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap individu berkenaan.

“Saya menegaskan pengisytiharan taubat bukan persembahan untuk meraih perhatian, sebaliknya perlu dilakukan dengan niat ikhlas dan bertujuan mengubah manusia ke arah ketakwaan. Pintu taubat sentiasa terbuka selagi seseorang masih hidup dan nyawanya belum sampai ke halkum.” katanya.

Mohd Izhar Ariff berkata, taubat nasuha ada lima asas iaitu meninggalkan kesalahan, menyesali perbuatan terdahulu, berazam tidak mengulanginya, memperbetulkan kesalahan terhadap manusia serta memperbaharui kefahaman agama melalui bimbingan pihak berautoriti dan ilmu akidah sahih.

Menurutnya, taubat tidak terhad kepada lafaz atau pengakuan di hadapan orang ramai, sebaliknya mesti dibuktikan menerusi perubahan pegangan, tingkah laku dan kehidupan.

Beliau menasihati masyarakat supaya tidak menutup pintu taubat kepada sesiapa, namun tidak menilai seseorang berdasarkan pengakuan lisan semata-mata.

Pada masa sama, katanya, masyarakat tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh seseorang tidak ikhlas bertaubat kerana keikhlasan adalah urusan antara hamba dengan Allah SWT.

“Pihak berkuasa agama, institusi pendidikan dan ilmuwan perlu menyediakan ruang bimbingan serta pemulihan, namun sikap berlapang dada itu tidak bermakna keselamatan masyarakat, undang-undang dan tanggungjawab terhadap mangsa diabaikan,” katanya.

1. Ajaran ‘Rasul Melayu’ (Abdul Kahar Ahmad)

  • Pengakuan Taubat: Pemimpin utamanya, Abdul Kahar bin Ahmad, membuat pengakuan taubat rasmi setelah melalui proses mahkamah dan ditahan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman.

  • Majlis Istitabah: Beliau secara terbuka melafazkan istitabah, membatalkan dakwaannya sebagai “Rasul Melayu”, dan kembali bersyahadah mengikut akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

    2. Kumpulan Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT)

  • Pengakuan Taubat: Pemimpin dan pengasas kumpulan ini, Masitah Ab Jalar (dikenali sebagai Sittah Annur), membuat pengakuan taubat rasmi pada tahun 2021.

  • Majlis Istitabah: Majlis tersebut dikendalikan secara rasmi oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Beliau menandatangani dokumen pengisytiharan taubat, mengaku bahawa segala “mimpi bertemu Nabi” dan ramalan akhir zamannya adalah tersasar, serta menyeru semua pengikutnya untuk turut sama bertaubat.

    3. Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH)

  • Pengakuan Taubat: Susulan fatwa pengharaman dan pengisytiharan ajaran GISBH sebagai sesat, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) serta pihak berkuasa Selangor mengaktifkan proses istitabah berskala besar.

  • Majlis Istitabah: Kerajaan negeri dan MAIS mengendalikan majlis serta program pemulihan institabah khas untuk ratusan ahli dan pengikut GISBH. Mereka membuat pengakuan taubat secara kelompok untuk membersihkan pegangan akidah daripada doktrin “Aurad Muhammadiah” dan kultus mengagungkan pemimpin.

    4. Ajaran Millah Abraham / Ibrahim

  • Pengakuan Taubat: Ajaran ini sangat aktif dan telah difatwakan sesat.

  • Majlis Istitabah: Ramai pengikut ajaran ini yang ditangkap dalam serbuan penguatkuasaan JAIS telah dihadapkan ke Mahkamah Syariah. Mahkamah memerintahkan mereka (sama ada secara individu atau kumpulan kecil) untuk menghadiri majlis istitabah dan menjalani proses pemurnian akidah di pusat MAIS.

    5. Ajaran Rufaqa’ (Serpihan Al-Arqam terdahulu)

  • Pengakuan Taubat: Sebelum penjenamaan kepada GISBH, pemimpin dan pengikut kanan rangkaian ini pernah melalui fasa penahanan dan pemulihan akidah.

  • Majlis Istitabah: Pada tahun 2000-an dan 2013, pihak JAIS pernah menganjurkan Majlis Istitabah khas yang dihadiri oleh ratusan bekas pengikut kumpulan ini untuk melafazkan ikrar taubat daripada terus menghidupkan doktrin lama Al-Arqam.

    © New Straits Times Press (M) Bhd

  • Scroll to Top