GANGARAMPUR – Penduduk di Gangarampur, daerah Dakshin Dinajpur, Bengal Barat, India, dikejutkan dengan kejadian pembunuhan kejam apabila seorang lelaki membawa kepala isterinya yang dipenggal ke sebuah kuil berhampiran kediamannya pada Rabu.
Lebih mengerikan, lelaki berusia 47 tahun itu dilihat duduk dengan tenang di dalam kuil sambil memegang kepala isterinya, Sima Sarkar, 42, yang masih berlumuran darah.
Menurut laporan The Indian Express, kejadian terbongkar apabila seorang jiran menghampiri lelaki dikenali sebagai Rintu Ghosh itu untuk memeriksa keadaannya sebelum terkejut melihat kepala mangsa berada dalam pegangannya.
Jeritan jiran berkenaan menyebabkan penduduk sekitar keluar dari rumah masing-masing untuk mengetahui apa yang berlaku.
Suspek kemudian dilihat keluar dari kuil dengan memegang kepala isterinya menggunakan sebelah tangan, manakala tangan satu lagi memegang sebilah katari, iaitu senjata tajam yang lazim digunakan dalam aktiviti pertanian.

Kejadian pembunuhan kejam itu mengejutkan seluruh penduduk Gangarampur di daerah Dakshin Dinajpur.
Polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu segera ke lokasi sebelum mengepung kawasan berkenaan dan menahan suspek.
Pemeriksaan di kediaman pasangan itu kemudian menemukan mayat mangsa tanpa kepala, manakala bahagian kepala ditemukan di kuil berkenaan.
Suspek turut menjerit “Saya sudah menjadi gila'” ketika dibawa polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah, Abhishek Gupta berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai membunuh isterinya di rumah selepas berlaku perselisihan rumah tangga.
“Kami sudah menahan suspek. Ini kejadian amat mengerikan dan belum pernah berlaku sebelum ini.
“Pasangan itu mempunyai dua anak masing-masing berusia lima dan 12 tahun. Maklumat awal mendapati kedua-dua anak mereka berada di rumah ketika kejadian,” katanya.
Beliau berkata, polis tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan suspek berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.
Menurutnya, senjata yang digunakan dipercayai peralatan tajam yang lazim digunakan dalam aktiviti pertanian.
Katanya, pihak polis sedang mengumpulkan bukti forensik bagi melengkapkan siasatan sebelum kertas pertuduhan dikemukakan.
Sementara itu, saudara-mara dan penduduk setempat dilaporkan masih terkejut dengan kejadian berkenaan.
Menurut mereka, suspek sebelum ini bekerja sebagai konduktor bas kerajaan, namun kini tidak lagi bekerja dan lebih banyak menghabiskan masa di rumah.
Saudara suspek, Rajesh Pramanik berkata, lelaki itu sejak kebelakangan ini menunjukkan perubahan tingkah laku termasuk mengamalkan pemakanan vegetarian secara ketat dan berkelakuan seperti pengamal tantrik.
Penduduk setempat turut memaklumkan pasangan itu dipercayai mempunyai masalah rumah tangga, namun tidak menyangka perselisihan berkenaan berakhir dengan tragedi pembunuhan.



