am@hmetro.com.my
Bandar Permaisuri: “Beberapa penduduk sempat terdengar bunyi letupan kuat ketika kebakaran masjid kerana mereka berada di kedai makan berhampiran, kira-kira 2.50 pagi,” kata Nor Zalizan Nordin, Imam Masjid At-Taqwa di Kampung Beris Tok Ku, Jalan Permaisuri, di sini, yang musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Menceriakan kejadian, Nor Zalizan, 45, berkata, dia hanya mengetahui kebakaran itu kira-kira 3 pagi selepas dimaklumkan penduduk kampung.
Katanya, selepas bunyi letupan itu, ada penduduk segera ke kawasan masjid sebelum melihat api sedang marak dan merebak dari bahagian depan ke belakang bangunan berkenaan.
“Malam tadi saya yang menjadi imam solat Isyak dengan disertai lebih 50 jemaah lelaki dan wanita.
“Kami sempat mengadakan sedikit jamuan makan selepas selesai membaca Yasin serta solat berjemaah,” katanya ketika ditemui di Kampung Kampung Beris Tok Ku, di sini, hari ini.
Katanya, jika diikutkan, hari ini dia juga turut dijadualkan bertugas untuk mengimamkan solat Jumaat di masjid berkenaan, namun disebabkan kejadian itu, lokasi solat Jumaat hari ini terpaksa dipindahkan ke lokasi berhampiran iaitu di Ustazah Suraya Tarbiyyah Centre (USTC)
Bercerita lanjut, Nor Zalizan berkata, dia mula bertugas di masjid ini sejak 2021, manakala bapanya, Nordin Abdullah, 68, bertugas sebagai bilal.
“Masjid ini mempunyai tiga imam, namun seorang baru sahaja berpindah ke Kedah pada bulan lalu,” katanya.
Katanya, masjid berkenaan amat aktif menjalankan program keagamaan termasuk kuliah agama hampir setiap malam kecuali malam Jumaat untuk bacaan Yasin.
“Masjid ini juga sering menjadi tumpuan utama penduduk di sini kerana tidak ada surau dalam kawasan kampung walaupun ada hampir 200 rumah penduduk di sini.
“Selain itu, ramai musafir yang singgah untuk bersolat atau berehat di sini kerana kami menggunakan konsep mesra musafir serta masjid tidak dikunci sepanjang masa,” katanya.
Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan bomba, namun mereka bersyukur tiada kemalangan jiwa.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Mohd Sarizan Mohamad Sapawi berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.57 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi pemadaman.
Menurutnya, operasi pemadaman itu tamat pada 5.59 pagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




