mhafis@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Seramai 12 individu termasuk lapan wanita yang mengadakan sambutan hari lahir di sebuah kondominium mewah di Jalan Raja Chulan, di sini, dikompaun RM48,000 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang menerima maklumat berhubung aktiviti penyalahgunaan dadah menyerbu kediaman terbabit jam 10.30 malam.
Beliau berkata, sebaik tiba dan loceng pintu ditekan beberapa kali barulah pintu dibuka oleh seorang wanita dan polis yang memperkenalkan diri terus menyerbu dan menahan empat lelaki dan lapan wanita berusia 23 hingga 35 tahun di ruang tamu.
“Pemeriksaan lanjut di tubuh badan suspek dan di dalam premis tiada menjumpai apa-apa barang salah.
“Siasatan awal mendapati mereka dijemput tuan rumah bagi menyambut majlis hari lahirnya dan mereka kemudian dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Zainal berkata, ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah.
“Kompaun dikeluarkan kepada 12 suspek dengan RM4,000 setiap seorang dan keseluruhannya berjumlah RM48,000 kerana melanggar Peraturan 17 Akta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB)2021,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




