Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melancarkan Strategi Etika, Tatakelola, Integriti dan Antirasuah (SETIA) 2026–2030 sebagai langkah memperkukuh tadbir urus, integriti institusi serta melindungi kepentingan pencarum.
Kesinambungan kejayaan LTAT sempurnakan semua 30 inisiatif
Pelaksanaan strategi selama lima tahun itu merupakan kesinambungan kejayaan LTAT menyempurnakan kesemua 30 inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2022–2026 dengan pencapaian 100 peratus.

Kepercayaan ATM kepada LTAT bawa tanggungjawab besar
Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi menyatakan, kepercayaan yang diberikan oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada institusi itu membawa tanggungjawab besar dalam memastikan setiap keputusan dibuat berlandaskan integriti dan akauntabiliti.
“Kepercayaan yang diberikan oleh anggota ATM kepada LTAT merupakan satu amanah yang amat besar. Setiap keputusan pelaburan, setiap perbelanjaan dan setiap tindakan mesti berpaksikan integriti, akauntabiliti dan profesionalisme demi melindungi kepentingan mereka serta masa depan yang telah diamanahkan kepada kami.
“Kami mengakui bahawa LTAT sebagai sebuah institusi pernah berdepan dengan cabaran pada masa lalu, yang sebahagiannya telah menguji keyakinan masyarakat terhadap tadbir urus dan integriti institusi ini. Perkara tersebut merupakan pengajaran yang perlu kami akui, ambil iktibar dan pastikan tidak berulang.
“Kami tidak boleh mengubah masa lalu, namun kami mampu dan mesti memastikan bahawa masa lalu tidak menentukan hala tuju masa depan kami. LTAT tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran piawaian etika. Dalam soal integriti, tiada sebarang pengecualian dan sama sekali tiada kompromi,” katanya.

Menerusi SETIA, LTAT menggariskan lima teras strategik dengan 25 inisiatif bagi memperkukuh pengurusan risiko rasuah, meningkatkan ketelusan serta memperkasakan akauntabiliti dalam setiap peringkat organisasi.
Pelancaran strategi itu turut mencerminkan komitmen LTAT untuk memastikan integriti menjadi tanggungjawab bersama dalam melaksanakan amanah menguruskan simpanan persaraan anggota ATM demi kelestarian dana pencarum untuk jangka panjang.
Majlis peluncuran yang diadakan bersempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa 2026 itu turut dihadiri Pengerusi LTAT, YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan Ariffin TUDM (Bersara); Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Integriti LTAT, YBhg. Datuk Dr. Shahrazat Haji Ahmad; serta Pengarah Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), YBhg. Dato’ TPj Hairuzam bin Mohmad Amin @ Hamim.




