am@hmetro.com.my
Shah Alam: Jalan Rawang-Kuala Selangor (B27) di Seksyen 9.90, Gombak, ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan susulan tanah runtuh yang menjejaskan sebahagian strukturnya, malam tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 11 malam membabitkan kegagalan cerun atas dan bawah sehingga menyebabkan sebahagian struktur jalan runtuh.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dalam kenyataan memaklumkan, runtuhan menyebabkan pokok tumbang dan menghalang keseluruhan laluan kenderaan.
Katanya, penutupan jalan dilaksanakan JKR Daerah Gombak, manakala maklumat berkenaan laluan alternatif sudah disebarkan menerusi Facebook JKR Selangor dan JKR Daerah Gombak pagi ini.
“Punca kejadian dipercayai akibat hujan lebat yang menyebabkan penyusupan air hujan dalam jumlah tinggi, sekali gus meningkatkan tahap ketepuan tanah dan tekanan air liang pada kawasan cerun.
“Keadaan itu menyebabkan ketidakstabilan cerun dan pergerakan tanah sehingga sebahagian struktur jalan runtuh dan terjejas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
JKR Selangor berkata, siasatan serta penilaian teknikal lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Katanya, Pelan Pengurusan Trafik (TMP) turut diaktifkan termasuk memasang papan tanda penutupan jalan sepenuhnya dan lencongan bagi memastikan keselamatan pengguna.
“Selain itu, pemasangan sementara kanvas (tarpaulin sheet) pada permukaan tebing jalan dan cerun terjejas dilaksanakan bagi mengelakkan hakisan serta runtuhan susulan.
“Kerja pembersihan runtuhan tanah dan pokok tumbang yang menghalang jalan akibat kegagalan cerun atas turut dilaksanakan oleh konsesi jalan negeri.
“Pemantauan berterusan dijalankan JKR Daerah Gombak bersama konsesi jalan bagi mengesan sebarang pergerakan aktif pada struktur jalan dan kestabilan cerun.
“Pembinaan jalan lencongan di kawasan terjejas akan dilaksanakan bagi membolehkan laluan kenderaan ringan, tertakluk kepada pertimbangan teknikal dengan mengambil kira faktor keselamatan serta tahap kestabilan cerun,” katanya.
JKR Selangor berkata, hebahan pembukaan semula jalan hanya akan dibuat selepas penilaian teknikal mengesahkan kawasan runtuhan selamat dilalui dan jalan lencongan yang disediakan sesuai digunakan kenderaan ringan.
Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi papan tanda dan arahan lencongan yang disediakan demi keselamatan semua pihak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




