Arteta puji mentaliti juang Rice

Arteta puji mentaliti juang Rice

London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta memuji mentaliti kemenangan dan keazaman Declan Rice untuk terus meningkatkan prestasinya selepas pemain tengah England itu mempamerkan aksi cemerlang bersama The Gunners musim ini.

Arteta menyifatkan Rice sebagai pemain yang sentiasa dahagakan peningkatan, malah tidak pernah berpuas hati dengan kemampuan dimiliki biarpun sudah menjadi antara tonggak penting pasukan.

Pemain berusia 27 tahun itu mencatat lima bantuan jaringan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), jumlah tertinggi dalam saingan berkenaan setakat ini, selain meledak satu gol dalam Liga Juara-Juara selepas membuat 14 penampilan dalam semua pertandingan.

“Dia mempunyai mentaliti untuk turun ke padang dan memenangi perlawanan, selain menambah satu lagi dimensi dalam permainannya, menghadirkan ancaman berbeza dan menjadi pemain yang lebih sukar dijangka.

“Dia benar-benar dahagakan peningkatan dalam setiap aspek permainannya. Kami perlu terus memperbaiki kemampuannya sambil mengekalkan begitu banyak kelebihan luar biasa yang sudah dimilikinya,” kata Arteta.

Pengendali dari Sepanyol itu turut menjelaskan keputusan meletakkan Rice pada posisi lebih ke belakang bertujuan memanfaatkan sepenuhnya kemampuan pemain berkenaan, terutama dalam membantu pergerakan bola dan peralihan serangan.

Menurutnya, Rice memiliki keupayaan menyeluruh termasuk memenangi perebutan bola, menggerakkan serangan, melakukan hantaran jauh serta menghasilkan ancaman menerusi bola mati dan percubaan jarak jauh.

“Dia boleh memenangi perebutan bola, menghasilkan hantaran ketika melakukan larian, membuat hantaran jauh atau melakukan hantaran silang dari kiri dan kanan.

“Dia juga mempunyai banyak kelebihan ketika situasi bola mati, selain kemampuan melakukan percubaan jarak jauh yang perlu kami manfaatkan dengan lebih baik. Masih banyak ruang untuk dia berkembang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Arteta turut memuji sikap Noni Madueke yang tidak disenaraikan dalam skuad England kendalian Thomas Tuchel bagi tugasan antarabangsa kali ini.

Sebaliknya, Madueke memilih untuk berlatih di luar negara ketika jendela antarabangsa lalu bagi meningkatkan prestasinya, sesuatu yang disifatkan Arteta mencerminkan keinginan pemain itu untuk terus memperbaiki diri.

Rice turut tersenarai bersama empat lagi pemain Arsenal iaitu Ben White, Ezri Konsa, Myles Lewis-Skelly dan Eberechi Eze dalam skuad England.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top