JOHOR Darul Ta’zim (JDT) dikenakan hukuman denda berjumlah AS$13,200 (kira-kira RM53,600) oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) susulan tiga kesalahan disiplin ketika aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2026/27 menentang Buriram United pada 15 September lalu.
Hukuman itu melibatkan kelewatan memulakan babak kedua, kegagalan memastikan pemain bersedia mengikut jadual rasmi serta tindakan enam pemain Harimau Selatan yang dikenakan kad oleh pengadil.
Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC, JDT dikenakan denda AS$2,250 (kira-kira RM9,135) kerana menyebabkan permulaan babak kedua tertangguh selama dua minit.
Kesalahan itu turut dikategorikan sebagai pelanggaran kali ketiga dalam tempoh pengulangan kesalahan.
Selain itu, pengendali pasukan, Francisco Javier Munoz turut dikenakan denda AS$1,500 (kira-kira RM6,090) selepas didapati gagal memastikan pemain JDT menyelesaikan persiapan dan meninggalkan bilik persalinan mengikut jadual kira detik rasmi sehingga menyebabkan kelewatan sama.
JDT turut menerima hukuman lebih berat apabila dikenakan denda AS$9,450 (kira-kira RM38,366) susulan tindakan enam pemainnya yang menerima hukuman daripada pengadil sepanjang perlawanan berkenaan.
Kesalahan itu merupakan pelanggaran keenam JDT dalam tempoh pengulangan kesalahan sekali gus menyumbang kepada peningkatan nilai denda yang dikenakan badan induk bola sepak Asia itu.
Ketiga-tiga denda berkenaan perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari selepas keputusan rasmi dimaklumkan selaras dengan Kod Disiplin dan Etika AFC.



