zaky@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Bantuan terbaharu diumumkan kerajaan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) boleh membantu untuk merangsang semula pasaran saham tempatan, kata ahli ekonomi.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pakej rangsangan sedemikian boleh membantu kerana ia akan menambah tunai di dalam sistem ekonomi negara.
“Cuma sekarang ini ketidakpastian yang berlegar adalah bila ekonomi akan dibuka sepenuhnya.
“Ini menjadi batu penghalang utama kepada pertumbuhan positif pasaran saham, selain daripada kebimbangan mengenai landskap politik negara semasa,” katanya kepada BH.
Sementara itu, Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (PRIBUMI), Nazarry Rosli, berkata pasaran saham dijangka bertindak balas positif terhadap sebarang pengumuman pakej bantuan baharu.
“PEMULIH juga akan memberi ruang untuk rakyat meneruskan kehidupan dalam keadaan yang lebih selesa dan dapat membantu menggerakkan ekonomi negara,” katanya.
Kerajaan hari ini mengumumkan pakej rangsangan PEMULIH membabitkan keseluruhan berjumlah RM150 bilion.
PEMULIH bertujuan memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam berdepan penularan wabak COVID-19.
Pakej bantuan terkini yang merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion memberi tumpuan kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.
Dalam pada itu, perkembangan terkini penularan COVID-19 dan lanjutan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) memberi kesan besar kepada pergerakan pasaran saham di Bursa Malaysia hari ini.
Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup hampir ke paras lapan bulan terendah kepada 1,544.71 mata, susut 14.97 mata berbanding ketika ditutup pada Jumaat iaitu 1,559.68 mata.
Bursa Malaysia yang dibuka pada 1,557.46 mata diniagakan pada jajaran 1,539.60 hingga 1,557.58 mata sepanjang dagangannya hari ini.
Perkembangan kes harian pandemik yang kekal di atas 4,000 kes dan lanjutan sekatan pergerakan penuh turut memberi kesan ke atas 29 indeks Bursa Malaysia termasuk Penjagaan Kesihatan untuk ditutup lebih rendah.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung 976 berbanding 133, sementara 342 kaunter tidak berubah, 786 tidak didagangkan dan 42 lagi digantung.
Mengulas mengenainya, Mohd Afzanizam berkata, buat masa terdekat, kesan kepada pasaran saham adalah negatif berikutan lanjutan berkenaan akan mengakibatkan aktiviti ekonomi menjadi lembap.
“Namun, sentimen pasaran saham boleh berubah apabila kerajaan melaksanakan dasar yang boleh membantu memulihkan ekonomi. Justeru, untuk tempoh terdekat ini, pasaran saham dijangka akan meruap.
“PPN yang diumumkan baru-baru ini seharusnya dapat membantu peserta pasaran saham dalam membentuk jangkaan terhadap pertumbuhan melalui indikator ambang yang disenaraikan.
“Ia termasuk dari segi jumlah kes baharu, penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) dan kadar pemvaksinan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




