Kelab malam haram diserbu, 195 pengunjung bawah umur ditahan

Kelab malam haram diserbu, 195 pengunjung bawah umur ditahan

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 195 pengunjung bawah umur dan seorang pengurus premis ditahan dalam serbuan terhadap sebuah kelab malam yang beroperasi tanpa lesen di sekitar ibu negara, tengah malam tadi.

​Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, seramai 431 individu diperiksa dalam serbuan dijalankan pada jam 12.30 tengah malam itu.

​”Kesemua individu yang ditahan berusia antara 18 tahun hingga 64 tahun. Ia membabitkan seorang pengurus premis, 93 pengunjung lelaki warga tempatan bawah umur dan 61 pengunjung wanita tempatan bawah umur.

​”Pengunjung warga asing lelaki bawah umur yang ditahan adalah seramai 16 orang dan wanita warga asing bawah umur seramai 25 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

​ Menurutnya, kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan saman, dokumentasi dan tindakan lanjut.

​ Katanya, saringan awal air kencing ke atas 49 individu mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis amfetamin dan metamfetamin manakala selebihnya negatif.

​ “Pengurus premis hiburan itu disiasat mengikut Seksyen 29 (2) Kaedah-kaedah Hiburan (WPKL) 1993 iaitu membenarkan pengunjung bawah umur memasuki premis hiburan.

​ “Operasi ini mencerminkan komitmen berterusan Polis Kuala Lumpur dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

​ “Tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

​ Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada pihak polis melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 / 03-2146 0585, Pusat Kawalan Daerah IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

​

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top