KUALA LUMPUR: Cabaran Malaysia dalam Kejohanan Terbuka Squash on Fire 2021 di Washington, berakhir selepas tiada seorang pun daripada tiga pemain negara mara ke peringkat separuh akhir.
Addeen Idrakie yang mempamerkan aksi memberangsangkan terhadap pemain tuan rumah, Faraz Khan dan Shahjahan Khan dalam pusingan sebelum ini, bagaimanapun terpaksa menyerah kalah kepada pemain nombor ke-18 dunia dan pilihan pertama kejohanan, James Willstrop.
Addeen, 27, yang berada di ranking ke-91 dunia, tewas 2-11, 6-11, 7-11 kepada pemain Inggeris itu dalam aksi 33 minit, menurut laman sesawang Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional www.psaworldtour.com.
Pemain pilihan kelima, Ivan Yuen yang mengalami kecederaan, memberi kemenangan percuma kepada pemain Jepun pada set ketiga, selepas ketinggalan 11-7, 13-11 dalam dua set pertama.
Pemain Jepun itu dijangka menentang Willstrop dalam perlawanan final hari ini.
Sementara itu, dalam kategori perseorangan wanita, Low Wee Wern diketepikan oleh pemain pilihan keempat, Sabrina Sobhy dari Amerika Syarikat dengan 7-11, 12-10, 10-12, 7-11 dalam masa 46 minit.
Sabrina bakal berdepan pemain England, Georgina Kennedy di separuh akhir. Pemain Malaysia lain seperti S Sivasangari, Rachel Arnold, Wen Li Lai dan Mohd Syafiq Kamal terkeluar lebih awal.
– BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




