SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un bertindak menggantikan beberapa pegawai kanan selepas ‘tragedi serius’ COVID-19 yang tidak diperjelaskan.
Perkara yang dilaporkan media tempatan itu berpotensi memberi isyarat berlakunya perlanggaran sistem pertahanan epidemik di negara komunis itu.
Pyongyang menutup sempadannya pada Januari tahun lepas dalam usaha melindungi negara itu daripada coronavirus yang pertama kali muncul di negara jiran, China.
Sehingga kini, Korea Utara itu belum mengesahkan sebarang kes COVID-19 secara terbuka sama ada di media tempatan atau melalui ujian statistik yang dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Namun, penganalisis berkata perkembangan terbaru itu adalah petunjuk jelas bahawa wujud jangkitan di negara terpencil yang berada di bawah sekatan antarabangsa susulan program senjata nuklear dan peluru berpandu balistiknya.
Menurut Agensi Berita Korean Central, Jong-un dalam mesyuarat Politburo, memberitahu terdapat pegawai yang mengabaikan tugas mereka.
“Ini menyebabkan tragedi ‘genting’ sehingga mewujudkan krisis besar dalam memastikan keselamatan negara dan rakyat sehingga mengakibatkan mereka menanggung akibat buruk.” katanya.
Namun, ia tidak menyatakan secara terperinci mengenai apa sebenarnya yang berlaku.
Jong-un bagaimanapun berkata pegawai berkenaan kurang berkemampuan dan tidak bertanggungjawab sehingga menjejaskan tugas penting yang diamanahkan selain menuduh mereka bersifat pasif serta melindungi diri sendiri.
Rakaman stesen penyiar kerajaan KCTV menunjukkan sejumlah pegawai memasuki bangunan jawatankuasa pusat dan Jong-un kelihatan marah ketika beliau bercakap pada pertemuan Selasa lalu itu.
Adik perempuannya dan juga penasihat utama, Kim Yo-jong, adalah antara yang berucap pada pertemuan itu.
Sistem kesihatan bencana negara yang ‘teruk’ dengan kekurangan bekalan perubatan menjadikan usaha memerangi COVID-19 menjadi sukar di negara itu. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd