bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Ujian saringan secara bersasar akan dilaksanakan ke atas semua penduduk di kawasan di Selangor dan beberapa lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Sabtu ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penduduk dalam kawasan PKPD tidak dibenarkan keluar dari kediaman.
Katanya, hanya seorang wakil isi rumah dibenarkan keluar membeli keperluan asas di kawasan PKPD dalam radius 10 kilometer dari kediaman.
“Semua laluan kawasan PKPD akan ditutup dan dikawal oleh PDRM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pergerakan bagi tujuan vaksinasi COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar daerah atau negeri tempat tinggal masih dibenarkan dengan menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau SMS.
“Lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi seperti biasa.
“Aktiviti dan perkhidmatan pengangkutan awam (kereta api, komuter, bas, lapangan terbang, teksi, feri, e-hailing) dibenarkan beroperasi seperti biasa dengan kapasiti 50 peratus,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd