mohd_iskandar@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Mahkamah jenayah dibenarkan beroperasi dalam fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perincian SOP berhubung kebenaran itu akan diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
“Kerajaan memutuskan untuk membenarkan mahkamah jenayah termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) beroperasi berikutan permohonan pendaftar Mahkamah Persekutuan yang memaklumkan jika kes tidak dilaksanakan, akan berlaku kesesakan dalam lokap dan penjara.
“Jadi, atas sebab itu kita membuat pertimbangan dan memberi kebenaran kerana bimbang berlaku kes jangkitan COVID-19 dalam penjara atau lokap seperti yang berlaku pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz secara maya hari ini.
Ismail Sabri berkata, kerajaan juga membenarkan firma peguam beroperasi sepanjang tempoh berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




