bhnews@bh.com.my
PUTRAJAYA: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menjalankan siasatan pencemaran sungai di Kampung Perigi Aceh, Pasir Gudang, Johor.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata beliau menerima aduan daripada seorang rakan di Facebook menyatakan berlaku pencemaran di sungai berkenaan.
Katanya, beliau sudah menyalurkan aduan berkenaan kepada Pengarah JAS Johor untuk diambil tindakan segera.
“Saya menyarankan orang ramai yang ingin membuat aduan berhubung pencemaran boleh menyalurkanya melalui sistem JAS yang disediakan,” katanya melalui akaun Facebooknya, hari ini.
Pada Ogos 2019 media melaporkan, dua sungai di Kampung Perigi Acheh bertukar menjadi hitam dan berbau busuk, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap pertambahan jumlah sungai tercemar di kawasan berkenaan.
Air Sungai Daing dan Sungai Kopak di kampung itu bertukar menjadi kehitaman, malah turut mengeluarkan bau yang meloyakan, dengan mata penduduk turut mengalami kepedihan setiap kali berada berhampiran sungai.
Kejadian itu menyebabkan nelayan di kampung berkenaan itu hilang mata pencarian apabila hidupan akuatik di situ semakin pupus.
© New Straits Times Press (M) Bhd




