bhnews@nstp.com.my
KOTA BHARU: Polis tidak menolak kemungkinan mayat yang ditemui di dalam kebun buah-buahan di Kampung Chekar, Wakaf Linchong, dekat Pasir Putih, kelmarin dimakan oleh binatang buas.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, pihaknya tidak pasti mayat yang ditemui pada jam 6.30 petang itu mempunyai unsur jenayah atau sebaliknya.
Katanya, mayat berkenaan dipercayai dimakan oleh binatang buas seperti babi hutan dan harimau.
“Kita temui kesan tapak kaki babi dan kesan kuku harimau di lokasi kejadian. Kita tidak menolak mayat itu yang tinggal cebisan dimakan oleh binatang buas.
“Namun, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk menunggu laporan bedah siasat yang akan dijalankan di Hospital Machang hari ini,” katanya ketika ditemui di Sekatan Jalan Raya (SJR) Jalan Hamzah di sini, hari ini.
Beliau berkata, keadaan mayat yang ditemui dalam proses pereputan.
Setakat ini, katanya, pihaknya mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.
“Kita minta orang ramai yang mempunyai kehilangan ahli keluarga supaya tampil membuat laporan di balai polis berdekatan.
“Jika tiada sesiapa yang tampil, polis bercadang untuk melakukan ujian sampel asid deoksiribonukleik (DNA),” katanya.
Media semalam melaporkan, satu mayat reput dan berkecai yang dipercayai seorang lelaki ditemukan oleh penduduk kampung di kebun buah-buahan di Kampung Chekar, Wakaf Linchong, dekat Pasir Putih, kelmarin.
Berdasarkan laporan, penduduk terhidu bau busuk ketika melalui jalan ke kebun di lokasi itu sebelum bertindak mencari punca bau itu lalu terjumpa mayat yang sudah reput dan berkecai kira-kira jam 6.30 petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd



