bhnews@bh.com.my
PETALING JAYA: Polis menyiasat dakwaan seorang wanita peningkatan jangkitan COVID-19 di Selangor disebabkan tindakan pengusaha kilang sarung tangan di daerah ini.
Menerusi rakaman video TikTok, wanita itu mendakwa pengusaha kilang berkenaan memindahkan pekerjanya yang positif COVID-19 dari asrama pekerja di daerah ini ke dua hotel di Klang.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima laporan polis, hari ini.
Katanya, video tempoh 3 minit 4 saat itu memaparkan wanita tempatan yang memperkenal diri sebagai pengerusi gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor.
“Dia mendakwa pengusaha kilang sarung tangan memindahkan pekerja yang positif COVID-19 dari asrama pekerja di Petaling Jaya ke dua buah hotel di Klang.
“Ini bagi membolehkan mereka bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad Fakhrudin berkata, wanita itu turut mendakwa terdapat kes kematian akibat jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja kilang terbabit menyebabkan asrama pekerja di Sungai Way, di sini dikenakan PKPD tetapi kilang itu masih beroperasi sepenuhnya.
“Satu kertas siasatan dibuka oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan terhadap pengusaha kilang terbabit.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988.
“Satu kertas siasatan juga dibuka terhadap individu dalam video terbabit mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan,” katanya.
Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya akan memanggil wanita terbabit untuk membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




