Kerajaan digesa segera lakukan penjujukan genom

Kerajaan digesa segera lakukan penjujukan genom

yusri.muzamir@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa segera melakukan penjujukan genom terhadap sampel virus SARS-CoV-2 bagi mengenal pasti situasi sebenar pandemik COVID-19 di negara ini.

Ini kerana ‘molecular epidemiological surveillance’ dalam penjujukan genom dapat mengesan lokaliti asal varian dan kawasan penularannya, sekali gus membolehkan tindakan awal diambil bagi membendung virus terbabit.

Pakar virologi di Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata proses itu berupaya mengenal pasti secara tepat jenis varian yang menular di negara ini dan kebolehannya untuk membiak atau bermutasi.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan penjujukan genom juga dapat menentukan keberkesanan vaksin menentang varian tertentu, selain mengenal pasti rawatan optimum.

“Ketika ini, kadar kematian di Malaysia adalah tinggi dengan lebih kurang 100 kes sehari, iaitu dua hingga tiga kali ganda lebih daripada purata sebilangan negara lain. Pada kadar positif di Malaysia sekarang, angka harian kematian sepatutnya antara 20 hingga 30 kes saja.

“Justeru, prosedur ini akan membantu mengenal pasti sama ada kadar itu disumbangkan faktor varian lebih ganas yang ada di Malaysia, rawatan tidak optimum atau angka positif sebenarnya tiga atau empat kali ganda lebih tinggi berbanding dilaporkan.

“Ini persoalan yang tidak terjawab sebab tiada penjujukan genom. Kita tidak boleh hanya bergantung pada faktor penyakit komorbiditi semata-mata kerana ia kurang tepat,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa COVID-19 kini berada pada ‘fasa sangat berbahaya’ akibat ancaman varian Delta yang lebih mudah berjangkit dan sudah dikesan di 98 negara.

Varian Delta kali pertama dilaporkan di India dengan nama B.1.617.2 itu terus berkembang dan bermutasi sehingga menyumbang 25 peratus jangkitan baharu di Amerika Syarikat dan 90 peratus di England.

Dalam pada itu, Dr Sazaly memaklumkan, Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya dua varian COVID-19, berdasarkan hasil penjujukan genom dilakukan pasukan penyelidikan UM, awal tahun ini.

“Kami telah buat (penjujukan genom) berpandukan sampel tahun lalu dan menghantar profil identiti bagi menunjukkan kepentingan penjujukan genom. Varian ini adalah varian awal dan bukan terkini.

“Selain itu, ada varian lain dikenal pasti di Sabah, hasil penjujukan genom dilakukan pasukan penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dibiayai kerajaan negeri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top