Masa makin suntuk selamatkan mangsa tanah runtuh

Masa makin suntuk selamatkan mangsa tanah runtuh

TOKYO: Lebih 1,000 anggota tentera dan pasukan penyelamat menyertai misi yang semakin terdesak hari ini, untuk mencari mangsa yang terselamat dalam insiden tanah runtuh di bandar peranginan, Sabtu lalu.

Sekurang-kurangnya empat mangsa disahkan meninggal dunia akibat bencana di Atami itu, dan pihak berkuasa masih belum dapat mengesahkan nasib atau lokasi 24 mangsa lain.

Gambaran helikopter menunjukkan lumpur dan sisa runtuhan menuruni kawasan berbukit di Atami yang menjadi destinasi kolam air panas popular di negara itu.

Pasukan mencari dan menyelamat menyelongkar sisa runtuhan dan lumpur ketika detik terakhir dalam tempoh 72 jam sejak kejadian itu berlaku, yang disifatkan pakar sebagai amat penting untuk menemui mangsa yang masih hidup.

“Masa sudah semakin suntuk…kami akan berusaha sebaik mungkin dalam tempoh yang tinggal ini berdoa kami akan menemui sebanyak mungkin mangsa,” kata Datuk Bandar Atami, Sakae Saito dalam mesyuarat pegawai tempatan, hari ini.

Pada satu ketika, jumlah penduduk yang hilang adalah lebih 100, namun pihak berkuasa memaklumkan berjaya mengesan kebanyakannya dan mengesahkan mereka berada dalam keadaan selamat.

“Individu yang masih hilang adalah seramai 24 orang,” kata Saito dalam mesyuarat yang disiarkan di televisyen.

Insiden tanah runtuh itu berlaku beberapa kali pada pagi Sabtu lalu ketika musim tengkujuh di Jepun.

Ia berlaku susulan hujan lebat selama beberapa hari di Atami yang terletak kira-kira 90 kilometer dari Tokyo.

Bencana itu menyaksikan 130 kediaman dan bangunan lain rosak teruk, dengan binaan tinggi runtuh, kenderaan tenggelam serta ada bangunan yang bergerak dari lokasi asal. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top