bhnews@bh.com.my
SHAH ALAM: Video tular puluhan pekerja lari lintang-pukang sehingga ada yang terjatuh serta memanjat pagar bukan kerana lari daripada serbuan pihak berkuasa.
Sebaliknya, syarikat kurier di Persiaran Jublee Seksyen 22 itu mengalami ‘false fire alarm trigger’ ketika proses pemeriksaan sistem pendawaian di dalam bangunan syarikat berkenaan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata siasatan mendapati kejadian berlaku antara jam 4.30 petang hingga 5 petang tadi.
Katanya, rakaman video viral yang menunjukkan ramai pekerja lompat pagar lari dari syarikat itu bukan kerana operasi atau serbuan mana-mana pihak penguat kuasa.
“Ketua keselamatan syarikat memaklumkan, ada ‘false fire alarm trigger’ dalam proses pemeriksaan sistem pendawaian dan sudah memaklumkan bunyi ‘alarm’ berkenaan.
“Bunyi ini menyebabkan ramai pekerja panik dan lari keluar kerana bimbang ada kebakaran,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Baharudin berkata, siasatan juga mendapati syarikat itu baru beroperasi kira-kira sebulan lalu.
“Memandangkan syarikat baru beroperasi, ramai pekerja dan pihak pengurusan belum didedahkan dengan ilmu latihan kebakaran seperti tempat berhimpun dan tindakan mengosongkan bangunan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



