bhnews@bh.com.my
JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 menggagalkan helah baharu sindiket penyeludupan yang menyembunyikan rokok seludup di sebalik kotak peralatan perubatan dalam lori, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid, berkata taktik itu terbongkar menerusi Op Kontraban Benteng COVID-19 yang dijalankan di Kawasan Perindustrian Taman Johor, Skudai di sini, pada jam 1.30 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan dalam perjalanan ke hospital di Kota Tinggi dan Mersing bagi menghantar bekalan peralatan perubatan.
Katanya, selepas melakukan pemeriksaan, pasukan PPM menemui 5,000 kotak rokok tidak bercukai disembunyi di sebalik kotak peralatan perubatan.
“Ia ditemui dalam 10 kotak besar yang mengandungi 50 karton rokok dipercayai tidak bercukai dengan nilai dianggarkan RM200,000.
“Tiga lelaki berusia lewat 20-an termasuk pemandu lori direman tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135 (1)(D) dan jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
© New Straits Times Press (M) Bhd




