NAYPYIDAW: Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi dan kakitangan peribadinya telah diberi vaksin COVID-19 sepenuhnya sejak berada dalam tahanan tentera.
Peguamnya, Min Min Soe, berkata semua orang di rumah Amay (panggilan terhormat untuk Suu Kyi) termasuk Amay sudah diberi vaksin.
Namun, beliau tidak memberikan perincian bila Suu Kyi yang dipercayai sudah menerima dos pertama sebelum pemerintahnya digulingkan atau apakah jenis vaksin diterima.
Difahamkan kira-kira 10 orang yang tinggal bersama di rumahnya termasuk penjaga dan tukang masak peribadi.
“Suu Kyi benar-benar bimbang mengenai COVID-19 di Myanmar dan meminta orang ramai untuk mendapatkan vaksin jika boleh.
“Dia meminta kami saling menjaga dan mengikuti sekatan dan sebarang arahan,” katanya.
Tindak balas Myanmar terhadap virus itu terhambat oleh kempen ketidakpatuhan awam besar-besaran yang telah menyaksikan ribuan doktor, sukarelawan dan penjawat awam berhenti bekerja untuk memprotes rampasan kuasa oleh tentera.
Suu Kyi tidak dilihat sejak ditahan oleh tentera pada Februari, tetapi menerusi pengadilan di mahkamah khas di Naypyidaw adalah cara beliau berhubung dengan dunia luar.
Hari ini, pasukan undang-undang Suu Kyi menyoal semula saksi pendakwaan dalam kes di mana beliau dituduh menghasut bersama bekas presiden, Win Myint dan pemimpin kanan dari parti Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD), Myo Aung.
Mahkamah juga mendengar keterangan atas tuduhan berasingan bahawa Suu Kyi melanggar sekatan COVID-19 semasa pilihan raya tahun lalu di mana NLD memperoleh kemenangan hebat.
Sementara itu, jangkitan COVID-19 melonjak di Myanmar apabila hampir 3,000 kes dilaporkan semalam, berbanding 100 kes sehari pada awal Jun lalu.
Negara dengan 54 juta penduduk itu segera ingin mendapatkan lebih banyak vaksin selepas menerima 1.5 juta dos dari India dan 500,000 dari China awal tahun ini. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




