faris.fuad@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Polis sudah mengenal pasti sindiket yang mendalangi aktiviti penyeludupan rokok dan arak di sempadan negara hingga mengakibatkan kerugian hasil lebih RM5 bilion.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM), Deputi Komisioner Mohd Yusoff Mamat, berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat mengenai kumpulan itu sebelum operasi bersepadu dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Sebelum ini saya pernah keluarkan kenyataan kaedah pergerakan baharu membabitkan isu penyeludupan terutama rokok ke Malaysia.
“Mereka bergerak dari Vietnam menggunakan kapal besar. Sampai di perairan Malaysia akan ada pertukaran barang atau sistem barter. Bot laju yang datang akan ambil barang di tengah laut untuk dibawa ke kawasan pantai Malaysia.
“Kalau lihat di Pantai Timur, dari Kuantan hingga Kota Tinggi, Pengerang memperlihatkan kawasan landai. Kenderaan berkenaan boleh mendarat di situ walaupun dalam keadaan air pasang,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Mohd Yusoff berkata, ahli sindiket itu turut menggunakan laluan perairan dari Batam, Indonesia untuk masuk ke kawasan utara Malaysia.
“Kadang-kadang mereka sampai Perak sahaja lepas itu mereka turun balik, kadang-kadang ada yang sampai ke Langkawi.
“PPM akan mengesan kumpulan ini walaupun kami tidak mempunyai teknologi canggih, sebaliknya berusaha menggunakan kaedah konvensional,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Yusoff, berkata pihaknya mempunyai 190 bot untuk digunakan bagi memantau dan menangani isu penyeludupan di perairan seluruh negara.
“Di Sabah kita ada 90 bot, 20 lagi Sarawak dan baki 80 di Semenanjung membabitkan lebih 2,000 kilometer (km) kawasan perairan untuk dipantau.
“Macam di Singapura ada satu bot untuk pantau satu kilometer, manakala purata di Malaysia satu bot untuk kira-kira 100 km.
“Itu pun kalau semua bot beroperasi sebab ada yang perlu diselenggara. Sebab itu dalam masa terdekat ini, kita jangka akan dapat perolehan aset bot PPM,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




