DUN Johor bersidang 12 Ogos

DUN Johor bersidang 12 Ogos

farid_noh@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengesahkan sudah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 12 Ogos ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata surat rasmi daripada baginda yang memperkenankan sidang DUN diadakan pada tarikh berkenaan sudah diterima kerajaan negeri.

Katanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga sudah dimaklumkan mengenai perkenan Yang di-Pertuan Agong itu.

“Kerajaan Johor sudah menerima surat rasmi daripada Al-Sultan Abdullah untuk mengadakan sidang DUN pada 12 Ogos ini.

“Jadi, kita akan membuat persiapan dan perancangan supaya sidang DUN berjalan sebagaimana kehendak peraturan persidangan dan Undang- undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan tiga mesin ventilasi kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Pada 23 Jun lalu, Sultan Ibrahim Iskandar memperkenankan DUN Johor bersidang pada 12 Ogos ini.

Baginda juga dilaporkan berkenan untuk berangkat merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat pada tarikh itu yang akan diadakan di Kota Iskandar.

Ditanya tempoh sidang DUN Johor, Hasni berkata, perkara itu akan diperincikan terlebih dulu.

Sementara itu, Hasni berkata, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi meneliti aduan diterima daripada Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-​Malaysia (EuroCham) dan seluruh komuniti perniagaan berhubung prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau berkata, jawatankuasa khas itu akan membolehkan Johor mengenal pasti punca dan langkah boleh diambil untuk membantu pelabur khususnya syarikat multinasional menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

“Saya sudah berbincang dengan pihak industri dan EuroCham yang menyuarakan beberapa perkara termasuk SOP dikuatkuasakan (ketika ini) tidak seragam yang memerlukan kerajaan negeri membantu supaya tidak berlaku kekeliruan pada peringkat penguatkuasaan.

“Jadi, jawatankuasa khas ini akan mengenal pasti masalah dihadapi itu dan kita akan cari jalan penyelesaiannya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top