LONDON: England menyerap semangat dipamerkan penonton di Wembley untuk menewaskan Denmark 2-1 di separuh akhir Euro 2020 dan kini hanya berbaki 90 minit lagi untuk menamatkan kemarau 55 tahun tanpa trofi buat Three Lions.
Anak buah Gareth Southgate dijadual bertemu Itali awal pagi Isnin ini dengan naluri mereka begitu yakin untuk meraih kemenangan pertama di kejohanan utama sejak kali terakhir di Piala Dunia 1966.
Pasukan England melangkah masuk ke Stadium Wembley dengan jumlah penonton dianggarkan seramai 65,000 orang dan mereka beramai-ramai bersorak selain menyanyikan lagu ‘Sweet Caroline’ dan ‘Football’s Coming Home’.
Namun Denmark terlebih dahulu ‘menghukum’ keceriaan di Wembley dengan jaringan Mikkel Damsgaard pada babak pertama dan ia adalah kali pertama gawang gol England dibolosi di sepanjang kejohanan kali ini.
Penonton tampak cemas dengan jaringan berkenaan namun England menyamakan kedudukan selang 10 minit selepas itu apabila Simon Kjaer menjaringkan gol sendiri.
Kedua-dua pasukan begitupun tidak dapat menemui jaringan pada babak kedua sebelum perlawanan diheret ke masa tambahan sekali gus memberikan lebih debaran.
Harry Kane menceriakan kembali suasana di Wembley dengan jaringannya pada minit ke-104.
“Satu prestasi yang menakjubkan – kami perlu berusaha gigih selepas gawang gol dibolosi buat pertama kalinya dalam kejohanan ini dan kami kembali bersatu dan menunjukkan semangat berpasukan yang baik untuk bangkit memenangi perlawanan ini,” kata Raheem Sterling.
Meskipun dengan kemeriahan kemenangan di Wembley, Sterling tetap menegaskan yang fokus utama pasukan ketika ini perlu pantas beralih kepada aksi final bertemu Itali.
“Ia satu lagi langkah baharu yang berada di landasan tepat,” katanya. “Namun apabila kami kembali ke bilik persalinan, ia sudah berakhir (keraian) dan kami perlu fokus untuk hujung minggu nanti.”
Perlawanan itu turut dihadiri Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dan di akaun Twitter, beliau menulis: “Malam ini England bermain dengan bersungguh-sungguh. Prestasi menakjubkan daripada skuad Gareth Southgate. Sekarang ini ke final. Mari bawa ia pulang.” – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




