Atu, isteri henti bekal PPE

Atu, isteri henti bekal PPE

fatin.farhana@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Atas nasihat Kementerian Kesihatan, pelawak Atu Zero dan isteri, Shafeeqa Johari berhenti menghasilkan peralatan perlindungan peribadi (PPE) bagi membantu kerajaan mengurangkan risiko penularan COVID-19 dalam komuniti.

Aktif menghasilkan PPE sejak tahun lalu, Atu dan Shafeeqa menjelaskan mereka bukan sengaja berhenti menghantar stok PPE kepada petugas barisan hadapan.

Shafeeqa berkata, kementerian memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) termasuk dalam penghasilan PPE secara sukarela oleh individu dan kumpulan tertentu seperti yang diusahakannya.

“Sebelum ini, kes jangkitan COVID-19 tidak banyak. Jadi, mereka yang menjahit dan menyiapkan PPE tidaklah besar kemungkinan dijangkiti virus berkenaan.

“Pembuatan PPE di kilang mewajibkan pekerja memakai perlindungan lengkap dan kebersihan yang terjamin. Jadi, kementerian tidak mahu ambil risiko.

“Jadi, kami ikut sahaja nasihat kementerian kerana itu yang terbaik untuk kita sama-sama mengelak penularan COVID-19 menjadi lebih teruk,” katanya kepada BH Online.

Shafeeqa mengaku faktor wang simpanan makin susut juga menjadi antara punca mereka berhenti menghasilkan PPE.

Tanpa berselindung, Shafeeqa berkata, wang simpanan mereka sekadar cukup untuk menampung perbelanjaan keluarga kerana sudah dua bulan Atu tidak bekerja.

“Sebelum ini, kami menggunakan wang simpanan untuk membeli fabrik dan kelengkapan lain untuk PPE. Apabila Atu tiada pendapatan, kami tidak ada duit lebih.

“Lagipun, saya tidak mahu menyusahkan sukarelawan yang membantu. Mereka tolong tanpa upah. Dengan keadaan ekonomi tidak menentu, lebih baik kami berhenti menghasilkan PPE,” katanya.

Shafeeqa berkata, biarpun agak terhimpit, dia dan Atu masih berusaha membantu keluarga yang tidak mampu menguruskan jenazah di kampung halaman Atu di Kudat, Sabah.

“Disebabkan saya menjual kek, keuntungan itu kami salurkan kepada kumpulan pengurusan jenazah di Kudat bagi membiayai kos penyelenggaraan van, kain kapan, kit jenazah dan sebagainya.

“Orang ramai turut menyumbang. Jadi, kami gunakan wang untuk membeli kelengkapan jenazah.

“Kami pilih membantu penduduk Kudat kerana ada antara mereka tidak tahu bagaimana hendak mendapatkan pertolongan termasuk khairat kematian dari kerajaan negeri,” katanya.

Tambah Shafeeqa, Atu pernah merasai kesusahan ketika hendak menguruskan pengebumian arwah bapanya dahulu dan mahu membantu orang lain.

Sebelum ini, Atu dan Shafeeqa pernah membantu penduduk di kawasan pedalaman di Sabah mendalami Islam.

“Seperti kita tahu, di Sabah ada banyak pulau kecil. Jadi, kami pergi membantu menyebarkan ajaran Islam. Tapi kami bukanlah tabligh, kami sedar kami bukan ustaz dan ustazah,” katanya.

Shafeeqa menjelaskan niat berkongsi aktiviti amal dalam media sosial kerana mahu mengumpul lebih banyak dana untuk disalurkan kepada insan memerlukan.

Apatah lagi, tambah Shafeeqa, mereka diberitahu ramai penduduk mengibarkan bendera putih di rumah akibat terputus mata pencarian kerana tidak dapat turun ke laut dan menjual hasil tanaman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top