zaky@bh.com.my
PUTRAJAYA: Kadar pengangguran negara mencatat sedikit penurunan kepada 4.5 peratus pada Mei membabitkan 728,100 penganggur, berbanding 4.6 peratus pada bulan sebelumnya demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata jumlah penganggur yang lebih rendah dicatatkan pada Mei berbanding 742,700 orang bulan sebelumnya menjadi rentetan trend penurunan kadar pengangguran yang dicatatkan sejak Februari lalu.
“Pada awal Mei 2021, kebanyakan negeri berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) sebelum beberapa negeri diletakkan di bawah fasa PKP bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
“Walaupun langkah lebih ketat dilaksanakan di negeri terbabit, semua aktiviti ekonomi termasuk perniagaan kecil dan bazar masih dibenarkan beroperasi dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya dalam laporan Statistik Tenaga Buruh Mei 2021, hari ini.
Pada Mei tahun lalu, negara merekodkan kadar pengangguran bulanan tertinggi iaitu sebanyak 5.3 peratus dengan 826,100 penganggur.
Berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, bilangan penganggur pada Mei 2021 adalah lebih rendah namun masih melebihi angka 500,000 yang direkodkan ketika tempoh sebelum pandemik.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, penganggur aktif yang merangkumi lebih 80 peratus daripada keseluruhan penganggur merekodkan pengurangan sebanyak 8,700 orang kepada 609,900 orang.
Katanya, kalangan penganggur aktif yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, sebanyak 52.2 peratus menganggur kurang daripada tiga bulan manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun merangkumi 10.2 peratus.
“Selain itu, penganggur tidak aktif yang percaya tiada pekerjaan yang tersedia menurun sebanyak 5,800 kepada 118,200 orang.
“Dari segi kumpulan yang tidak aktif, Mei 2021 menyaksikan bilangan luar tenaga buruh meningkat seramai 21,200 orang kepada 7.40 juta orang,” katanya.
Beliau berkata, bilangan penduduk bekerja meningkat secara marginal sebanyak 0.1 peratus kepada 15.37 juta orang pada Mei dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk tidak berubah iaitu pada 65.4 peratus.
Merumuskan keseluruhan situasi tenaga buruh, Mohd Uzir berkata, ketika negara memasuki separuh kedua tahun 2021, Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan dalam usaha melandaikan keluk jangkitan COVID-19.
Katanya, ia menyebabkan penutupan semua sektor ekonomi dan sosial di seluruh negara kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan penting dengan bilangan pekerja yang terhad di tempat kerja.
“Dengan langkah terkini kawalan kesihatan, sektor ekonomi dijangka berdepan cabaran dalam mengekalkan momentum pemulihan mereka manakala industri berkaitan pelancongan akan terus terkesan.
“Dengan kes jangkitan baharu harian yang berterusan melebihi 6,000 kes menjelang akhir Jun 2021, PKP Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di beberapa lokaliti tertentu di Kuala Lumpur dan Selangor bermula 3 hingga 16 Julai dan seterusnya bagi mengurangkan peningkatan kes baharu di kawasan berkenaan.
“Oleh itu, pasaran buruh berkemungkinan akan berdepan dengan situasi yang tidak menentu pada bulan-bulan berikutnya bergantung kepada kedudukan situasi pandemik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




