bhnews@bh.com.my
SHAH ALAM: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dan merampas pelbagai jenis bahan terlarang itu dianggarkan bernilai RM44 juta menerusi 10 serbuan berasingan di sekitar Serdang, Ampang Jaya dan Subang Jaya, Isnin lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman turut memberkas 14 individu termasuk empat wanita disyaki ahli sindiket itu dalam operasi berkenaan.
“Hasil serbuan, polis membongkar tiga stor menyimpan dadah dan merampas 431 bungkusan berisi dadah jenis syabu, 863 slab disyaki heroin base serta 2,000 biji pil Erimin 5 dengan anggaran berat 764.34 kilogram (kg) bernilai RM44 juta.
“Polis juga menahan 10 lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang wanita warga Vietnam (isteri kepada seorang suspek lelaki).
“Kesemua suspek berumur lingkungan 20 hingga 70 tahun disyaki terbabit kegiatan pengedaran dadah syabu, heroin base dan pil Erimin 5 di sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang media secara maya, hari ini.
Selain itu, Arjunaidi berkata, polis menyita pelbagai aset sindiket membabitkan tujuh kenderaan, tujuh akaun bank, wang tunai pelbagai negara, seutas jam tangan berjenama mewah dan pelbagai barang kemas.
“Semua rampasan ini dianggarkan bernilai RM477,709.21. Nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah ialah RM44.48 juta,” katanya.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing semua suspek bagaimanapun didapati negatif, namun enam daripada mereka memiliki pelbagai rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan suspek direman tujuh hari hingga 12 Julai ini.
“Tindakan ke atas suspek juga diambil mengikut ADB (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.
Berdasarkan siasatan awal, Arjunaidi berkata, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak tahun lalu, dengan mendapat bekalan dadah dari negara jiran untuk pasaran tempatan.
Selain itu, beliau berkata, suspek dipercayai melepasi sekatan jalan raya dengan menggunakan kenderaan perdagangan.
“Mereka disyaki menggunakan modus operandi membawa dadah dengan menyorokkannya dalam lori mengangkut buah-buahan, sebelum transit ke tiga rumah yang dijadikan stor penyimpanan itu.
“Bagaimanapun ia tidak semestinya lori buah-buahan saja, mereka disyaki turut menggunakan kenderaan perdagangan lain.
“Berdasarkan rekod, siasatan awal mendapati belum ada pembabitan kongsi gelap tetapi JSJN sedang berusaha mengesan saki-baki ahli sindiket berkenaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




