GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa ASEAN segera melantik utusan khas ke Myanmar berikutan pelanggaran hak asasi manusia semakin serius di negara itu.
Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet, turut kecewa kerana tiada perkembangan lanjut selepas lebih dua bulan keputusan dibuat oleh gabungan negara Asia tenggara itu.
“ASEAN sepatutnya sudah memulakan dialog dengan pihak junta tentera Myanmar yang mendalangi rampasan kuasa menjatuhkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi di negara itu pada 1 Februari lalu.
“Keadaan kini amat mendesak untuk ASEAN melantik utusan khas atau pasukan bagi memulakan dialog politik,” katanya pada mesyuarat Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) di Geneva semalam.
Ini adalah gesaan kali kedua Bachelet dalam tempoh sebulan meminta negara Asia Tenggara melaksanakan tindakan segera bagi menyelesaikan krisis politik di Myanmar.
Pelapor khas PBB mengenai hak asasi di Myanmar, Tom Andrews, memberitahu beliau terbuka dengan pertemuan itu, malah ingin bekerjasama dengan utusan khas ASEAN.
Bagaimanapun, katanya, masyarakat antarabangsa terus mengecewakan rakyat Myanmar untuk menghentikan ‘kekejaman’ junta tentera.
Andrew juga menggesa penubuhan Gabungan Darurat untuk Rakyat Myanmar merangkumi semua negara yang bersedia untuk bersama rakyat Myanmar, bagi melaksanakan tindakan terancang menentang junta tentera.
“Ia dijangka boleh membantutkan kemampuan junta menyerang rakyat selain menyelamatkan nyawa dalam krisis pandemik COVID-19 sekarang serta meraih pengaruh politik bagi menamatkan krisis di Myanmar.
“Masa sudah suntuk dan kita mungkin berdepan musibah yang lebih teruk lagi sekiranya tiada tindakan proaktif diambil,” katanya.
ASEAN bagaimanapun gagal mencapai kata sepakat setakat ini, dengan empat daripada 10 negara anggota iaitu Kemboja, Laos, Thailand dan Brunei, menolak resolusi pelantikan utusan khas itu.
Sementara itu, Malaysia, Indonesia dan Singapura sebelum ini menzahirkan kekecewaan atas penangguhan pelantikan utusan khas itu dan ketiadaan kesepakatan dalam kalangan negara anggota.
Dalam pada itu, akhbar Jepun, Kyodo News, yang memetik sumber tidak dinamakan, melaporkan Thailand, Indonesia dan Malaysia pula masing-masing mahu mencalonkan perutusan khas ke Myanmar.
Selain itu, Singapura mendakwa sedang bekerjasama dengan negara ASEAN lain untuk mempercepatkan pematuhan lima perkara yang dipersetujui ketika sidang khas lewat April lalu, bagi mengakhiri kemelut di Myanmar.
ASEAN juga dilihat berpecah belah ketika pengundian Perhimpunan Agung PBB (UNGA) bulan lalu berhubung resolusi terhadap Myanmar.
Antara lain ia menggesa junta tentera mengembalikan pentadbiran demokratik dan meminta negara anggota menghentikan jualan senjata kepada Myanmar susulan hampir 900 orang maut di tangan pihak berkuasa sejak 1 Februari lalu.
Walaupun ASEAN mendakwa mahu menerajui rundingan damai, pengkritik seperti Pengarah Eksekutif Human Rights Watch, Kenneth Roth, berkata penduduk Myanmar sudah hilang kepercayaan terhadap gagasan serantau itu.
“Kenapa kita perlu tunggu tindakan ASEAN bagi mengakhiri kemelut di Myanmar sedangkan ia masih gagal mencapai persefahaman bagi melantik utusan khas walaupun lima bulan sudah berlalu,” katanya. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




