NEW DELHI: Pihak berkuasa di Kerala, selatan India mengeluarkan amaran di seluruh negeri itu selepas kes virus Zika disahkan.
Menteri kesihatan, Veena George, berkata ia dipercayai membabitkan 13 kes yang kini sedang disiasat.
Seorang wanita mengandung berusia 24 tahun dikesan dijangkiti penyakit bawaan nyamuk itu dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital di bandar Thiruvananthapuram.
Wanita mengandung amat berisiko dan boleh menjangkiti anak yang dikandungnya yang mengakibatkan sindrom Guillain-Barre, iaitu penyakit auto-imun yang jarang berlaku.
Menteri berkata, sampel kesemua 13 suspek kes itu sudah dihantar ke makmal di Pune untuk siasatan lanjut.
Menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (AS), virus zika tersebar melalui gigitan nyamuk aedes tetapi boleh juga berjangkit melalui kegiatan seksual.
Ia mula ditemui pada monyet di hutan Zika di Uganda pada 1947 dan menyebabkan penularan di seluruh dunia beberapa tahun lalu.
Ketika ini, tiada vaksin atau ubat anti viral yang ada sebagai bagi mencegah atau mengubatinya.
Simptom penyakit itu adalah demam, ruam di kulit, konjungtivitis dan sakit sendi serta otot, namun kematian jarang berlaku.
Pegawai di negara itu berkata, seorang mangsa wanita menunjukkan tanda demam, sakit kepala dan ruam sebelum dirujuk ke hospital, di mana dia melahirkan bayi pada Rabu lalu.
Pasukan kesihatan diarahkan ke lokasi itu untuk memantau kes terbabit.
Pada 2017 dan 2018, India berdepan penularan virus itu dan ratusan kes dilaporkan di barat Gujarat dan Rajasthan serta Madhya Pradesh, namun kes di Kerala kali ini adalah yang pertama.
Ketika ini, Kerala turut berdepan peningkatan kes COVID-19 yang tinggi dengan 13,000 kes baharu direkodkan pada hari ini, sekali gus negeri dengan kadar tertinggi di India. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




