bhnews@bh.com.my
KUCHING: Seorang lelaki menyerah diri kepada polis selepas cuba membunuh isterinya dengan menikam menggunakan pisau di rumah mereka di Jalan Tabuan, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 1.10 petang tadi, sebelum suspek hadir menyerah diri secara sukarela di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, pada jam 2 petang.
“Polis dalam usaha menjalankan siasatan menyeluruh mengenai punca kejadian.
“Orang ramai diingatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dengan denda atau sebat.
Sementara, Ahsmon berkata mangsa kini dirawat di Hospital Umum Sarawak dan dalam keadaan stabil.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian badan dan kini dalam keadaan stabil,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




