EURO: Presiden UEFA tak sokong banyak tuan rumah

EURO: Presiden UEFA tak sokong banyak tuan rumah

LONDON: Presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin berkata dia tidak akan menyokong kejohanan dengan beberapa tuan rumah pada masa akan datang.

Ia susulan format yang mula diadakan pada Kejuaraan Eropah kali ini menyaksikan England mendapat kelebihan dengan beraksi hanya sekali di luar Wembley dalam laluan ke final.

Kejohanan kali ini diadakan di 11 kota di sekitar Eropah dan penyokong beberapa negara terpaksa terbang ribuan kilometer untuk menyaksikan pasukan mereka beraksi.

Format ini dipersetujui bekas presiden UEFA, Michel Platini walaupun dikritik kerana membabitkan kos tinggi untuk peminat serta kesan terhadap kesihatan.

Itali kendalian Roberto Mancini berdepan tugas berat di Wembley walaupun sebelum sepak mula final Euro 2020.

“Saya tidak akan menyokongnya lagi. Tidak patut untuk sesetengah pasukan mengharungi perjalanan lebih 10,000km manakala yang lain hanya 1,000km.

“Ia tidak adil untuk peminat, yang terpaksa berada di Rom pada satu hari, dan di Baku dalam beberapa hari kemudian.

“Kami terpaksa berjalan jauh, ke beberapa negara dengan peraturan berbeza, mata wang berbeza, negara dalam Kesatuan Eropah (EU) dan bukan EU, jadi ia tidak mudah.

“Ia adalah format yang diputuskan sebelum saya (menjadi presiden) dan saya menghormatinya.

“Ia idea yang menarik tetapi sukar untuk diterapkan dan saya tidak rasa kami akan mengulanginya,” kata Ceferin.

– AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top