Lelaki gantung diri selepas dipercayai bunuh isteri – Utusan Digital

Lelaki gantung diri selepas dipercayai bunuh isteri – Utusan Digital

BUTTERWORTH: Seorang lelaki dipercayai membunuh isterinya dengan menikam mangsa sehingga mati sebelum dia bertindak membunuh diri dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Kimsar, Perai, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian itu, mayat wanita berusia 54 tahun berkenaan ditemukan di dalam sebuah bilik dengan kesan tikaman di bahagian leher, dada dan perut manakala suspek lelaki berusia 65 tahun ditemukan tergantung di bahagian dapur.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada anak lelaki pasangan berkenaan yang berusia 28 tahun kira-kira pukul 3 petang yang memaklumkan menemukan mayat ibu dan ayahnya di rumah tersebut.

Katanya, siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan kejadian bunuh dan bunuh diri itu berpunca daripada perselisihan faham dan cemburu membabitkan pasangan suami isteri tersebut.

“Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian bunuh itu dan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut sedang dijalankan.

“Pasangan suami isteri itu tidak bekerja dan menurut anak lelakinya, anak-anak yang menyara kehidupan ibu dan ayah, malah, mereka tinggal tidak jauh daripada rumah pasangan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Menurut Rahimi, mayat pasangan suami isteri itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya dekat sini untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Scroll to Top