bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Seorang wanita pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai didera secara fizikal dan mental selama hampir empat tahun bekerja di sebuah rumah di Taiping, Perak, akhirnya diselamatkan, Jumaat lalu.
Operasi menyelamat dilakukan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) pusat bersama JTK Perak dengan kerjasama Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan, hari ini memaklumkan mangsa berusia 36 tahun itu diselamatkan susulan aduan dan maklumat oleh Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di sini, Rabu lalu.
Berikutan itu, katanya, risikan dijalankan pada 7 dan 8 Julai lalu sebelum operasi menyelamatkan mangsa dijalankan pada jam 6.30 pagi, Jumaat lalu.
“Wanita berkenaan dibawa masuk ke negara ini oleh seorang ejen untuk bekerja sebagai pembantu rumah serta dijanjikan gaji RM1,000 sebulan.
“Dia diminta membayar tiga bulan gajinya sebagai bayaran perkhidmatan kepada ejen terbabit sebaik mendapat kerja dan selesai dibayar melalui potongan gaji pada Disember 2017 serta Januari dan Februari 2018,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, majikan dikatakan mengambil kesempatan memanipulasi mangsa yang tidak mempunyai permit kerja yang sah dan dikategorikan sebagai pekerja asing tanpa izin (PATI).
“Majikan menjadikan isu PATI sebagai ugutan untuk memaksa mangsa melakukan pelbagai kerja rumah dengan tekanan fizikal dan mental.
“Mangsa juga pernah dipukul dengan tangan apabila majikan tidak berpuas hati dengan kerja yang dilakukan, selain tidak diberikan makanan jika menyuarakan hasrat kembali ke negara asal ataupun berhenti,” katanya.
Selain itu, katanya, gaji mangsa kerap dibayar lewat dan pernah terjadi situasi di mana wang gaji yang sudah diserahkan ke tangan mangsa diambil semula oleh majikan.
“Melalui siasatan awal, terdapat indikator buruh paksa dilakukan terhadap mangsa dan majikan disyaki melakukan satu kesalahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Mangsa masih dalam keadaan trauma dan kini ditempatkan di Rumah Perlindungan Zon Tengah selepas diberikan perintah perlindungan interim (IPO) oleh Mahkamah Magistret Taiping selama 21 hari sehingga 30 Julai ini,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pihak JTK kini sedang melengkapkan siasatan sebelum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya bagi semakan dan keputusan.
“Kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dalam isu buruh paksa dan usaha bersepadu antara agensi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan dalam menangani isu itu tanpa mengira kewarganegaraan pekerja terbabit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




