McGregor jalani pembedahan tiga jam

McGregor jalani pembedahan tiga jam

LOS ANGELES: Conor McGregor menjalani pembedahan selama tiga jam, kurang daripada 24 jam selepas mengalami kecederaan patah tulang kering ketika tewas di tangan Dustin Poirier, semalam.

Doktor mengesahkan McGregor patah tulang tibia dan fibula kirinya pada pusingan pembukaan bagi aksi yang berlangsung di Las Vegas itu.

Menerusi satu video di media sosial, McGregor menjangkakan dia perlu memakai tongkat selama enam minggu sebelum boleh mula kembali bertarung.

“Conor dalam pemulihan selepas pembedahan selama tiga jam,” kata ejennya, Audie Star.

“Pembedahan itu berjaya membaiki tulang tibia dan fibulanya yang patah. Dia turut berkata doktor “yakin yang McGregor dapat pulih dalam waktu yang dijangkakan. Kami menantikan kepulangannya ke oktagon.”

Poirier jelas lebih hebat berbanding McGregor apabila memenangi pertarungan trilogi itu secara Technical Knockout (TKO) selepas jaguh dari Ireland itu mengalami kecederaan.

Promoter, Dana White mengesahkan yang dia mengharapkan pertarungan keempat antara dua jaguh itu akan dapat dilangsungkan.

Poirier bagaimanapun menjelaskan dia tidak kisah pertarungan itu berlangsung di mana sekalipun.

“Kami akan tetap bertarung tak kiralah di dalam oktagon ataupun di tepi jalan,” katanya. -AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top