syafiq.aznan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom enggan pulang dengan tangan kosong pada penampilan sulungnya di temasya Olimpik Tokyo 2020 yang akan membuka tirainya Jumaat depan.
Justeru, pemenang acara keirin lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia 2021 itu mengharapkan dia mampu menghadirkan butiran pingat buat negara sama seperti yang dilakukan rakan sepasukannya, Azizulhasni Awang pada temasya 2016 di Rio.
“Bagai mimpi menjadi kenyataan apabila dapat mewakili negara pada temasya berprestij seperti ini. Sokongan padu yang diterima daripada jurulatih, Azizul, rakan sepasukan yang lain serta Yayasan Sime Darby (YSD) membantu pencapaian saya dalam perjalanan ini.
“Saya akan mengekalkan prestasi di Olimpik dan pulang ke tanah air dengan kejayaan,” katanya yang akan bersaing dalam acara keirin dan juga pecut.
Sebagai rekod, Shah Firdaus adalah atlet di bawah Pasukan Berbasikal Trek Yayasan Sime Darby (SDFTCT) dan menerusi Program Road To Tokyo SDFTCT yang menelan belanja RM2.6 juta, penyertaan Shah Firdaus dalam pelbagai kejohanan membantu dia layak beraksi di Tokyo.
Selain Shah Firdaus, atlet lain yang turut terbabit adalah Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Anis Amira Rosidi yang menyertai 45 kejohanan antarabangsa serta lima kejohanan kebangsaan termasuklah World Cup Classics Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan Kejuaraan Dunia UCI.
Ini adalah fasa ketiga untuk sokongan YSD kepada SDFTCT selepas kejayaan dua fasa terdahulu untuk menaja pelumba basikal trek negara dalam misi layak ke Sukan Olimpik 2012 dan 2016 yang menyaksikan Azizul berjaya membawa pulang pingat gangsa pada temasya 2016.
Dalam perkembangan lain, Pengerusi YSD, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada Shah Firdaus dan Azizul pada temasya empat tahun sekali itu.
“Kita memahami temasya kali ini akan menjadi pertandingan luar biasa yang mana ia mungkin tidak mudah untuk mereka menyesuaikan diri dengannya.
“Tetapi kami berkeyakinan yang Shah Firdaus dan Azizul serta semua atlet dalam kontinjen negara akan membanggakan nama Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd