suzalina@bh.com.my
KUALA LUMPUR: PRIHATIN Kasih yang dilaksanakan kerajaan melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) memberi manfaat kepada 110,284 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada keseluruhan 300,000 isi rumah yang dijangka dibantu melalui program itu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, berkata penerima JKM itu membabitkan kelompok miskin bandar antaranya bantuan orang tua (BOT), penerima elaun penerima cacat (EPC) dan bantuan orang kurang upaya (OKU) tidak berupaya bekerja (BTB).
Beliau berkata, turut mendapat manfaat daripada program PRIHATIN Kasih ini ialah bantuan kanak-kanak (BKK), bantuan pesakit kronik terlantar (BPT), bantuan am (BA) bantuan anak pelihara (BAP) dan Bantuan Latihan Perantis (BLP).
Beliau berkata, program PRIHATIN Kasih ini dilihat amat membantu dalam usaha menangani isu miskin bandar melalui pangkalan data dari JKM dan e-Kasih selain bantuan bakul makanan dilaksanakan kerajaan.
“Penerima diberi bantuan bulanan sebanyak RM100 untuk tiga bulan yang boleh digunakan untuk pembelian barangan makanan asas seperti makanan dalam tin, susu bayi, beras, minyak masak, telur berdasarkan pilihan isi rumah menggunakan MyKad.
“Menariknya, jika terdapat baki yang tidak habis digunakan dalam sebulan itu, ia boleh di bawa ke depan hingga Disember,” katanya kepada pemberita selepas sesi turun padang di The Store, Pudu Plaza, di, sini bagi meninjau pelaksanaan program PRIHATIN Kasih.
Seramai empat penerima bantuan JKM terdiri daripada seorang warga emas dan tiga OKU terbabit dalam pelaksanaan program PRIHATIN Kasih, hari ini.
Pada masa sama, Rina berkata, penerima bakul makanan juga antara yang tersenarai dalam mendapat bantuan daripada program PRIHATIN Kasih demi memastikan kelengkapan asas mereka mencukupi.
Katanya, bagi memastikan penerima PRIHATIN Kasih tidak terlepas pandang mengenai status kelayakan, mereka bukan sahaja menerima pesanan ringkas dari MyKasih, namun akan dihubungi juga untuk diingatkan mengenai tarikh dan masa bagi sesi taklimat orientasi di kedai terdekat.
Sementara itu, Rina berkata, dalam membantu dan memudahcara masyarakat yang terkesan, pihak kementerian juga menyediakan kemudahan permohonan Skim Bantuan Kebajikan secara dalam talian yang boleh dilayari melalui portal rasmi JKM.
“Selain itu, untuk bantuan lanjut mereka boleh menghubungi Talian Kasih 15999 dan menerusi aplikasi WhatsApp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam sehari.
“Atas prinsip kebajikan tanggungjawab bersama, konsep keseluruhan masyarakat perlu dilaksanakan oleh semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin komuniti, ketua agama, ahli keluarga, jiran, ahli komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Semua pihak di luar sana harus memainkan peranan dalam memastikan masyarakat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dapat diberi bantuan sewajarnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



