DHAKA: Bangladesh akan menarik sekatan pergerakan atau perintah berkurung sempena sambutan hari keagamaan kedua terbesar di negara itu, meskipun kadar jangkitan baharu COVID-19 meningkat mendadak sehingga mencatatkan rekod, kata kerajaan hari ini.
Kabinet memutuskan kesemua sekatan akan dilonggarkan di negara majoriti Islam yang memiliki populasi penduduk seramai 169 juta itu, bermula Khamis hingga sambutan Aidiladha yang disambut pada 20 hingga 22 Julai ini.
Dengan ‘memansuhkan’ sekatan itu, ia akan menormalkan aktiviti ekonomi menjelang perayaan itu.
Setiap kali sambutan Aidiladha, puluhan juta orang lazimnya akan pulang ke kampung untuk beraya bersama keluarga.
Terdapat juga kebimbangan apabila berlaku kesesakan di pasar untuk membeli haiwan sembelihan dan penganjuran perhimpunan besar semasa festival berkenaan akan menjadi punca perebak utama atau super spreader pandemik itu.
Bangladesh mula menguatkuasakan sekatan pergerakan paling ketat bermula pada bulan ini berikutan trend jangkitan baharu dan kematian yang menunjukkan peningkatan.
Sepanjang tempoh sekatan pergerakan, orang ramai hanya dibenarkan keluar rumah untuk tujuan kecemasan dan membeli barang keperluan.
Pengangkutan awam, kedai dan pejabat ditutup. Bagaimanapun, trend jangkitan terus menunjukkan peningkatan dengan hampir 14,000 orang diuji positif semalam, sekali gus mencatatkan rekod harian baharu menjadikan jumlah kumulatif kes jangkitan di negara itu melepasi sejuta orang.
Jumlah kematian meningkat melebihi 16,000 orang. Namun, pakar beranggapan bahawa angka sebenar yang tidak dilaporkan mungkin jauh lebih tinggi.
Mohammad Shahidullah, individu mengetuai jawatankuasa kesihatan yang menasihati kerajaan untuk menguruskan pandemik berkata kumpulan dianggotai pakar menentang langkah melonggarkan sekatan pergerakan.
“Jawatankuasa berpandangan sekatan pergerakan ketat ini sepatutnya diteruskan sehingga trend jangkitan mula menunjukkan penurunan,” kata Shahidullah kepada AFP.
“Walaupun sekatan pergerakan berlangsung, terdapat trend peningkatan jangkitan dan kematian. Kadar jangkitan masih tinggi.
“Ia mungkin mencetuskan malapetaka. Situasi COVID-19 membimbangkan,” kata Penasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) wilayah Asia, Muzaherul Huq. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




