67 premis diarah tutup, 416 individu dicekup ingkar SOP – Utusan Digital

67 premis diarah tutup, 416 individu dicekup ingkar SOP – Utusan Digital

PUTRAJAYA: Bilangan premis yang diarahkan tutup oleh Pasukan Task Force Operasi Pematuhan semalam kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) meningkat drastik berbanding 17 buah pada kelmarin dengan sejumlah 67 premis ditutup meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan itu melaksanakan pemeriksaan ke atas 2,285 kilang selain 16,822 premis perniagaan, 1,015 tapak pembinaan dan 456 asrama pekerja.

Keseluruhannya, ujar Menteri Pertahanan itu, mereka berjaya melakukan 90,214 pemeriksaan dan serbuan mengejut dengan jumlah kekuatan seramai 19,245 anggota dari pelbagai agensi.

“Seramai 47 pendatang asing tanpa izin ditahan dan empat buah kenderaan darat disita melalui Operasi Benteng,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara merekodkan 416 individu diberkas semalam dengan seramai 372 dikompaun, manakala 44 lagi direman hasil pemantauan yang membabitkan 90,214 pemeriksaan oleh Task Force Operasi Pematuhan.

“Kesalahan tertinggi semalam masih ialah merentas kawasan dan makan/minum di premis iaitu 97 kes, diikuti tiada jarak fizikal dengan 35 kes, gagal merekod butiran diri di premis (74), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (43), membawa penumpang berlebihan (39), tidak memakai pelitup (58) dan lain-lain (70),” katanya.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 478 individu telah tiba di tanah air semalam dengan kesemua mereka diarahkan menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 562 peruncit, 160 pemborong dan 32 pengilang selain melakukan sejumlah 2,592 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan lima premis terbabit dikompaun dan satu lagi diberikan amaran. -UTUSAN ONLINE

Scroll to Top