latifah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pelanggan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disaran menggunakan pelbagai kemudahan dalam talian bagi sebarang urusan khususnya berkaitan pinjaman dan simpanan.
PTPTN dalam satu kenyataan hari ini berkata, memandangkan negara masih berdepan pandemik COVID-19, kualiti perkhidmatan yang terbaik tetap menjadi keutamaan.
“PTPTN terus memastikan pelbagai kemudahan dalam talian disediakan agar urusan pelanggan tidak terjejas walaupun kaunter PTPTN ditutup di seluruh negara.
“Pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan bagi urusan permohonan pinjaman, bayaran balik pinjaman, pembukaan akaun dan penambahan deposit dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) disaran menggunakan pelbagai kemudahan dalam talian yang pastinya lebih mudah, cepat dan selamat,” katanya.
Menurut PTPTN, usaha itu selari dengan hasrat PTPTN ke arah pendigitalan secara menyeluruh dalam penyampaian perkhidmatan awam bersifat hujung ke hujung.
“Bagi permohonan pinjaman pendidikan, pelajar yang berhasrat untuk memohon pinjaman PTPTN, permohonan (termasuk pembelian ID PTPTN) boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN.
“Selain itu, semakan wang pendahuluan pinjaman (WPP) juga boleh disemak di www.ptptn.gov.my,” katanya.
Kenyataan sama turut memberitahu, bagi permohonan pinjaman yang diluluskan, pelajar hanya perlu menghantar dokumen tawaran dan perjanjian pinjaman melalui pos ke ibu pejabat PTPTN, Menara PTPTN, Kuala Lumpur tanpa perlu hadir ke kaunter PTPTN.
“Ekoran pandemik ini, PTPTN turut memberikan kelonggaran dengan memanjangkan tempoh bagi penghantaran dokumen yang diumumkan melalui Portal Rasmi PTPTN dari semasa ke semasa.
“Namun pelajar digalakkan dapat menghantar dokumen berkenaan mengikut tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya.
Bagi urusan bayaran balik pinjaman, pelanggan boleh layari portal rasmi PTPTN atau berurusan melalui pelbagai saluran lain.
“Pelanggan boleh membuat bayaran melalui aplikasi telefon mudah alih seperti MyPay, Shopee, BESTPay, KiplePay dan KelantanPay.
“Selain itu, bayaran juga boleh dibuat melalui perbankan internet seperti JomPay dan bank terpilih. Perkhidmatan e-Pay turut disediakan di terminal lokasi terpilih,” katanya.
Menurut kenyataan itu, bagi memudahkan pelanggan membuka akaun dan penambahan simpanan SSPN, kemudahan dalam talian turut disediakan di portal rasmi PTPTN.
“Pembukaan akaun dan penambahan simpanan boleh dibuat melaluimelalui www.lovesspn.com.
“Selain itu penambahan simpanan juga boleh dilakukan melalui saluran fpx,” katanya.
Sementara itu, PTPTN memberitahu, pelanggan yang ingin berunding, mempunyai pertanyaan atau aduan boleh menghubungi pelbagai saluran yang disediakan.
“Antara saluran untuk menghubungi PTPTN termasuk Careline di 03-21933000, Live Chat di www.ptptn.gov.my dan membuat e-aduan di https://eaduan.ptptn.gov.my/.
“Selain itu, pelanggan juga boleh menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN di https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn atau layari media rasmi PTPTN di Facebook PTPTNOfficial, InstaPTPTN, TwitPTPTN & Facebook SSPN,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




